Anda di sini

Malaysia sasar jadi pengeluar Solar PV kedua terbesar dunia menjelang 2020

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasar menjadi pengeluar solar fotovoltaik (Solar PV) kedua terbesar di dunia menjelang 2020, kata Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Beliau berkata pengeluaran sekarang ialah sebanyak 12 peratus dan sasarannya adalah untuk mencapai 20 peratus pada masa itu.

“Malaysia ketika ini berada di kedudukan ketiga dari segi pengeluaran solar PV.

“Berdasarkan penyelidikan pasaran, pada 2015, jumlah penghantaran global solar PV berjumlah 50.8 gigawatt.

“China menyumbang 48 peratus, Taiwan 20 peratus, Malaysia 12 peratus dan Jepun enam peratus,” katanya.

Zaini berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia Ke-7 Malaysia selama dua hari, di sini, semalam.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu Malaysia perlu mengguna pakai teknologi hijau dan tidak ketinggalan di belakang pasaran utama seperti di AS, Eropah dan Jepun.

“Inisiatif lain bagi memenuhi sasaran tersebut ialah Malaysia kini memulakan pemeteran tenaga bersih (NEM) sebagai kaedah menarik untuk memacu pertumbuhan tenaga solar,” katanya.

NEM akan membolehkan lebih ramai pemilik rumah dan bangunan, sama ada perindustrian atau komersil, untuk menjana elektrik bagi solar PV atau menggunakannya di peringkat dalaman, katanya.

Zaini berkata Malaysia memberi jaminan untuk mengurangkan keamatan pelepasan gas rumah hijaunya daripada keluaran dalam negara kasar sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

PV dikenali sebagai kaedah bagi menjana kuasa elektrik dengan menggunakan sel solar untuk menukarkan tenaga daripada cahaya matahari. — Bernama

Advertisement