Anda di sini

Kenanga Research kekalkan penarafan ‘berprestasi tinggi’ ke atas sektor penerbangan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kenanga Research mengekalkan penarafan  ‘berprestasi tinggi’ ke atas sektor penerbangan tempatan hasil daripada prestasi AirAsia Bhd yang lebih baik, dan unjuran pendapatan yang lebih tinggi oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam satu nota, firma penyelidikan itu berkata harga saham AirAsia meningkat 11 peratus hasil daripada prestasi lebih baik dalam keputusan kewangan suku kedua 2016, selain berita mengenai penjualan cabang pajakan mereka.

“Kami mengekalkan penarafan kami ke atas sektor ini berasaskan kepada kos bahan api AirAsia yang rendah, pulangan yang lebih baik dan faktor muatan penumpang yang didorong oleh permintaan perjalanan yang tinggi, selain penjualan cabang pajakan mereka, Asia Aviation Capital.

“Sementara itu, harga saham MAHB, naik tujuh peratus susulan cadangan baharu kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC), yang akan menyamakan caj PSC di semua lapangan terbang di Malaysia,” katanya.

Kenanga Research berkata, untuk tempoh lapan bulan tahun ini, trafik penumpang MAHB bagi operasi di Malaysia meningkat 3.3 peratus, melepasi anggaran tiga peratus, manakala operasi di Turki merekodkan pertumbuhan 6.8 peratus, susut 10 peratus berbanding sasaran.

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan ‘berprestasi tinggi’ ke atas  kedua-dua MAHB dan AirAsia, pada harga sasaran yang tidak berubah masing-masing pada RM7.33 dan RM3.82.

Pada jam 11.10 pagi, saham AirAsia turun dua sen kepada RM2.80 dengan 2.71 juta saham diniagakan, manakala saham MAHB meningkat satu sen kepada RM6.66 dengan 4,700 saham diniagakan. — Bernama

Advertisement