Anda di sini

Usah politikkan pengagihan tangki air, kata Fredolin

Advertisement

KOTA KINABALU: Daerah Inanam merupakan salah satu kawasan yang terletak di kawasan bandar raya Kota Kinabalu yang sering kali mengalami masalah bekalan air bersih apabila tibanya musim kemarau.

Sebanyak 65 kampung di kawasan itu yang kebanyakannya terletak di kawasan bukit hanya bergantung kepada bekalan air bersih daripada air paip graviti di mana sumber air diperolehi melalui air sungai.

Apabila tiba musim kemarau, air sungai di kawasan bukit itu tidak mampu menampung keperluan penduduk kampung dan ia memberi masalah kepada penduduk kampung untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi keperluan seharian sebagai sumber air minuman, memasak serta kegunaan untuk mandi.

Baru-baru ini, kerajaan negeri melalui Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Inanam telah mengagihkan sebanyak 150 tangki air kepada penuduk di kawasan itu bagi mengurangkan sedikit bebanan serta penyelesaian masalah sekiranya berlaku masalah kekurangan bekalan air bersih apabila tiba musim kemarau.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kawasan Inanam Fredolin Totin Bangon ketika ditemui dalam satu majlis pengagihan tangki air yang diadakan di Dewan Mini Kampung Mansiang, Manggatal, baru-baru ini, berkata bantuan tangki air di kawasan Inanam merupakan keperluan yang sangat penting kepada semua penduduk kampung kerana kawasan itu sering kali mengalami masalah kekurangan bekalan air bersih.

Katanya, bantuan tangki air itu masih tidak mencukupi kerana pengagihan tangki air terhad kepada lima bagi setiap kampung dan pihaknya hanya menyasarkan mereka yang sangat memerlukan.

Menurutnya pihak UPPM telah mengagihkan bantuan tangki air itu dengan penuh saksama tanpa pilih kasih kerana senarai penerima yang diguna pakai adalah diperolehi melalui pengerusi JKKK di setiap kampung kerana mereka lebih mengetahui penerima yang layak untuk mendapat bantuan berkenaan.

Berhubung masalah air bersih di kawasan Inanam pula, Fredolin berkata beliau telah pun membuat kertas kerja dengan mengenal pasti kampung-kampung yang terlibat kepada pihak yang berkaitan “dan kita bersyukur kerana Projek Mega Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Negeri Sabah bagi pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi 2016 – 2020 akan dilaksanakan di kawasan Inanam dalam masa terdekat ini.”

“Projek ini melibatkan peruntukan hampir RM200 juta dan diharap akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Fredolin yang juga ketua bahagian PBS Inanam turut membidas tindakan pihak tertentu khususnya pihak pembangkang yang sengaja menjadikan isu pengagihan tangki air itu sebagai ‘gula-gula politik’ kerana mereka tiada isu lain untuk dipolitikkan, apatah lagi untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan seumpama itu.

Oleh demikian, beliau berharap penduduk kampung di kawasan itu bersabar serta bijak menilai ‘cakap-cakap’ orang yang kononnya para penerima telah hilang maruah kerana mudah diumpan dengan ‘tangki biru’.

Advertisement