Anda di sini

Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dinamakan sebagai CEO Terbaik 2016 oleh GIFA 2016

Advertisement
 Wan Mohd Fadzmi menerima Anugerah‘CEO of The Year daripada  Menteri Bertanggungjawab merangkap wakil kedutaan Republik Nigeria di Jakarta Ibim Nkem Charles.

TAHNIAH: Wan Mohd Fadzmi menerima Anugerah‘CEO of The Year daripada Menteri Bertanggungjawab merangkap wakil kedutaan Republik Nigeria di Jakarta Ibim Nkem Charles.

JAKARTA: Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman dianugerahkan sebagai CEO Terbaik 2016 di Majlis Anugerah Kewangan Islam Global pada satu majlis di sini, baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo dan 450 tetamu lain.

Anugerah itu sebagai memberi pengiktirafan kepada pemimpin yang telah melaksanakan perubahan kepada institusi yang diterajui serta aktif menyumbang kepada pembangunan industri kewangan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa GIFA 2016, Dr Humayon Dar berkata, jawatankuasa GIFA sangat kagum dengan kepimpinan Wan Mohd Fadzmi terutamanya dalam menjalankan peralihan Agrobank kepada sebuah institusi perbankan Islam moden sepenuhnya.

“Anugerah CEO Terbaik ini memberi pengiktirafan kepada pemimpin yang telah melaksanakan perubahan kepada institusi yang diterajui.

“Setiap tahun, GIFA menganugerahkan pemenang yang telah menunjukkan kebolehan merangka visi yang strategi, kesiapsiagaan dalam membuat keputusan bagi membantu institusi  berkembang secara mampan serta sifat integriti yang utuh,” terang  Dar.

Beliau berkata semenjak mengambil alih tugasan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 2011, Wan Mohd Fadzmi menjadi daya penggerak utama kepada transformasi Agrobank terutamanya dalam pengukuhan asas Bank dan memberi tumpuan kepada perniagaan teras serta mandat yang jelas dalam usaha membina dan memantapkan sektor pertanian.

Wan Mohd Fadzmi juga katanya telah mengambil langkah berani apabila mengumumkan untuk menjadikan Agrobank sebagai sebuah institusi perbankan patuh syariah Islam sepenuhnya dalam tempoh masa tiga tahun.

“Pada tanggal 1 Julai 2015, Datuk Wan Mohd Fadzmi telah berjaya menerajui transformasi Agrobank dan menjadi sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya,” tambah Dar.

Menurut beliau lagi jawatankuasa GIFA turut kagum dengan pencapaian Agrobank di bawah kepimpinan  Wan Mohd Fadzmi yang telah merekodkan peningkatan prestasi ketara.

Antaranya sedang menyusun semula proses dan prosedur untuk kecekapan yang lebih baik, mengurangkan kadar Pembiayaan Tidak Berbayar (NPL) kepada satu angka, membangunkan produk dan pembiayaan yang lebih inovatif serta relevan kepada komuniti pertanian serta menyumbangkan usaha cemerlang dalam rangkuman kewangan dan inisiatif yang diambil untuk meluaskan akses kepada kewangan.

Dar turut menekankan, di bawah kepimpinan Wan Mohd Fadzmi, Agrobank berada pada prestasi cemerlang  apabila telah mengatasi pembiayaan RM8 bilion pada separuh pertama tahun ini dan dijangka mencapai 10% -12% kadar pertumbuhan menjelang akhir tahun ini walaupun dalam senario ekonomi global yang suram.

Mengulas mengenai anugerah yang dimenanginya, Wan Mohd Fadzmi berkata: “Saya amat berbesar hati untuk menerima anugerah berprestij ini. Ini adalah satu pengiktirafan kepada Agrobank dan semua kakitangan yang bekerja keras untuk melaksanakan peralihan untuk menjadikan Agrobank sebagai sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya.

“Perjalanan untuk merangka peralihan itu sangat mencabar, di mana ia melibatkan perubahan yang besar dan penting dalam termasuklah pemikiran, proses dan membuat semula kesemua dokumen,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, warga kerja Agrobank benar-benar percaya bahawa pertanian, secara semula jadi, sangat bersesuaian dengan kewangan Islam.

“Oleh itu, kami terus komited dan berusaha lebih gigih dalam merealisasikan peralihan ini. Ia turut menambah keyakinan pelanggan kami dan juga para pelabur mengenai status halal sesuatu produk kerana ia disokong oleh urus niaga perniagaan yang mematuhi Syariah.

“Kami juga amat bersyukur dengan sokongan padu yang diterima dari Bank Negara, Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan juga ahli lembaga pengarah serta pihak-pihak berkepentingan Bank dalam merealisasikan cita-cita kami,” tambahnya.

Pada majlis sama, Agrobank turut menerima satu lagi pengiktirafan untuk kategori ‘Kes Kajian Kewangan Islam Terbaik 2016’.

Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal telah mewakili Agrobank untuk menerima anugerah tersebut.

Lebih daripada 450 tetamu dari seluruh dunia telah menghadiri majlis Anugerah GIFA yang berprestij tahun ini. Ini adalah julung kali Anugerah GIFA ini diadakan di Indonesia. Tahun lalu, Bahrain telah menjadi tuan rumah untuk majlis Anugerah GIFA.

GIFA, dianjurkan Edbiz Consulting  yang beribupejabat di London sejak 2011, memberi penghormatan kepada bank, institusi kewangan, perundingan, agensi penarafan, broker insurans dan syarikat-syarikat teknologi di atas sumbangan mereka dan pengaruh positif kepada industri perbankan serta kewangan Islam global.

Advertisement