Anda di sini

Nuri hempap sekolah

Advertisement

b16100545 b16100544

 Sebuah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat cemas di atas bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Balung pagi semalam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Bagaimanapun kesemua 14 anak kapal serta lima pelajar sekolah itu cedera dan dirawat di Hospital Tawau. — Gambar Bernama

GEMPAR: Sebuah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat cemas di atas bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Balung pagi semalam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Bagaimanapun kesemua 14 anak kapal serta lima pelajar sekolah itu cedera dan dirawat di Hospital Tawau. — Gambar Bernama

TAWAU: Seramai 14 anggota tentera cedera dan dikejarkan ke Hospital Tawau selepas sebuah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat cemas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung di sini pagi semalam.

Penolong Penguasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau, Sahidi Mahali berkata dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, lima pelajar turut tercedera.

Pekerja kantin sekolah dipercayai turut tercedera.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika helikopter berkenaan sedang cuba hendak mendarat di atas padang sekolah itu.

Satu bilah kipasnya dikatakan turut terpelanting kira-kira 200 meter.

TUDM dalam satu kenyataan berkata pesawat Nuri tersebut yang dinaiki 14 anggotanya berlepas dari pangkalan TUDM di sini pada jam 7.35 pagi untuk melakukan latihan penerbangan harian.

“Semua anak kapal dan penumpangnya terselamat,” katanya.

Pihak TUDM berkata, mereka telah menghantar pasukan menyelamat dan akan membawa keluar pesawat daripada lokasi kejadian.

TUDM sedang membuat penilaian berhubung insiden tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut.

“TUDM akan menubuhkan satu pasukan penyiasat bagi mengenal pasti puncakejadian,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengarahkan Panglima TUDM menyiasat insiden itu.

“Saya telah mengarahkan Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Roslan Saad sendiri pantau siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian di Tawau.

“Timbalan saya (Datuk) Johari Baharum dan PTU akan bersama (Menteri Belia dan Sukan Sabah) YB (Datuk) Tawfiq Abu Bakar Titingan (Ketua UMNO Bahagian Tawau) untuk meninjau kawasan kejadian dan berjumpa dengan pengurusan dan murid-murid SMK Balung, Tawau,” katanya dalam laman Facebook rasmi beliau.

Hishammuddin juga melahirkan rasa syukur kerana semua anak kapal dan penumpang helikopter berkenaan selamat.

Dalam perkembangan sama, Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata TUDM menubuhkan lembaga siasatan bagi menilai dan menganalisis kejadian helikopter Nuri terhempas semasa cuba mendarat cemas di SMK Balung, semalam.

Roslan berkata lembaga itu akan mengambil tindakan selanjutnya bagi menentukan helikopter Nuri miliknya sentiasa bersedia apabila hendak digunakan.

Beliau berkata, anggota pasukan lembaga itu akan membawa keluar komponen dan keseluruhan badan pesawat itu bagi mengenal pasti punca sebenar insiden itu berlaku.

“Siasatan di tempat kejadian akan mengambil masa tiga hari… ia mengambil masa disebabkan kita harus menjaga komponen dalam pesawat dan tidak boleh diangkat sembarangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi kejadian di SMK Balung.

Roslan turut bersyukur kerana 13 anggota TUDM dan sembilan orang awam yang terlibat dalam nahas itu hanya mengalami cedera ringan.   Beliau berkata hanya dua anggota TUDM iaitu juruterbang dan juruteknik pesawat berkenaan masih menerima rawatan di Hospital Tawau.

Katanya, seorang lagi juruterbang dan 10 anggota TUDM yang turut berada di dalam pesawat tersebut telah menjalani pemeriksaan dan sudah dibenarkan keluar daripada hospital.

Beliau berkata, sembilan orang awam yang turut cedera dalam kejadian itu, terdiri daripada lapan pelajar dan seorang pekerja pembersihan di sekolah berkenaan, juga sudah menerima rawatan dan keluar daripada hospital.

Ditanya mengenai kronologi kejadian, Roslan berkata pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Tawau pada jam 7.35 pagi semalam menuju ke Semporna untuk melakukan latihan penerbangan biasa.

Katanya pesawat itu yang dikendalikan dua juruterbang dan seorang juruteknik, turut membawa 10 anggota TUDM untuk latihan mencari dan menyelamat menerusi udara.

Beliau berkata pesawat itu terhempas semasa cuba mendarat cemas pada jam 9.05 pagi ketika hendak menghampiri untuk mendarat di Lapangan Terbang Tawau.

SMK Balung terletak kira-kira sembilan kilometer dari Lapangan Terbang Tawau dan mempunyai 1,678 pelajar dan 116 guru. — Bernama

 

Advertisement