Anda di sini

Bruno dinobat sebagai ‘Mr Ambassador’ Sabah

Advertisement

 Bruno (tengah) diapit oleh Severinus (kiri) dan Walter (kanan).

TAHNIAH: Bruno (tengah) diapit oleh Severinus (kiri) dan Walter (kanan).

KOTA KINABALU: Berkat minat mendalam untuk mempelajari serta mempromosi budaya tempatan ke seluruh dunia, Bruno George Sadiwa berjaya mencuit hati para juri setelah dinobatkan sebagai ‘Mr Ambassador’ Sabah 2016 yang berlangsung pada satu majlis di sini, Sabtu lepas.

Beliau yang berusia 28 tahun itu berjaya mengalahkan 19 peserta lain dan membuktikan bahawa dirinya mempunyai segala ciri yang diperlukan untuk memegang gelaran itu.

Bukan sahaja memenangi gelaran utama, Bruno turut memenangi pelbagai gelaran sampingan dan seterusnya membawa pulang wang tunai RM3,000, selempang dan trofi.

“Saya tidak menjangka memenangi pertandingan ini kerana peserta lain turut sama menunjukkan prestasi yang sangat baik…malahan, saya juga terkejut apabila memenangi gelaran subsidiari.

“Pada 2011 lagi, saya sudah menyertai pelbagai pertandingan fesyen dan akhirnya kali ini, tuah menyebelahi saya untuk mencapai impian memenangi pertandingan Mr Ambassador Sabah 2016,” katanya.

Mengimbas perjalanan sebelum menyertai pertandingan, beliau terbuka hati menyertai pertandingan itu pada saat-saat akhir kerana beliau sepatutnya hanya membantu salah seorang kawannya untuk menyertai pemilihan pertandingan berkenaan.

Namun, atas keinginan yang mendalam terhadap fesyen, beliau memutuskan untuk mengambil bahagian dan mempersiapkan segala kelengkapan yang diperlukan.

“Saya tahu bahawa ketinggian saya kurang iaitu hanya 170cm, tetapi saya mahu membuktikan kepada dunia bahawa tiada apa yang mustahil sekiranya kita berazam untuk terus berjuang mencapai impian,” katanya yang juga seorang pereka fesyen.

Sementara itu, naib juara diraih oleh Severinus Nain dan tempat ketiga Walter Joe Peter yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000.

Hadiah-hadiah utama disampaikan oleh Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Sabah (MOTAC) Ag Ahmad Zaki Abd Bakar mewakili Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Terdahulu dalam ucapannya, Mas Ermieyati berkata pertandingan seperti itu bukan sahaja wadah untuk mempamerkan kepelbagaian budaya Sabah bahkan boleh dijadikan tarikan pelancong.

“Pertandingan ini sudah pastinya akan menghasilkan satu pakej tarikan pelancong melalui duta budaya yang kita pilih untuk memberi galakan dalam usaha mempromosikan keunikan warisan Sabah.

“Kerajaan juga amat mengalu-alukan sebarang usaha untuk memelihara warisan budaya kita,” katanya.

Semasa pertandingan, setiap peserta dikehendaki mempamerkan tiga jenis pakaian etnik iaitu memiliki aspek inspirasi kreatif, pakaian tradisional dan batik.

Pengerusi penganjur Thonny Chee berkata, pihaknya bercadang untuk menganjurkan pertandingan yang lebih besar dan lebih baik pada tahun hadapan.

Justeru, beliau berharap agar lebih ramai peserta dengan pakaian tradisional masing-masing akan menyertai pertandingan berkenaan pada edisi akan datang.

Advertisement