Anda di sini

Hampir 70% kepimpinan MPN PKR Sabah keluar parti

Advertisement

 Lajim (dua kanan), Junz Wong (kanan), Terrance (dua kiri) dan Maijol (kiri) berganding tangan ketika mengumumkan keluar dari parti PKR dan DAP untuk menubuhkan parti tempatan Sabah. — Gambar Bernama

BERSATU: Lajim (dua kanan), Junz Wong (kanan), Terrance (dua kiri) dan Maijol (kiri) berganding tangan ketika mengumumkan keluar dari parti PKR dan DAP untuk menubuhkan parti tempatan Sabah. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Hampir 70 peratus daripada 34 anggota kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah termasuk pengerusinya Datuk Seri Lajim Ukin semalam meletakkan jawatan dan mengumumkan keluar parti.

Lajim, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, itu mengumumkan keputusan berkenaan di hadapan kira-kira 500 penyokong di sini.

Turut bersama mengisytiharkan keluar parti ialah ADUN Moyog, Terence Siambun, Setiausaha Agung PKR Sabah, Datuk Maijol Mahap dan Ketua Wanita PKR Sabah, Johair Matlani termasuk beberapa cabang serta ketua wanita PKR di Sabah.

Ketika berucap pada perhimpunan pengisytiharan hala tuju perjuangan melalui parti tempatan, Lajim berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira harapan rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan membela nasib dan menjaga kepentingan mereka.

Pada majlis itu, ADUN Likas, yang juga Setiausaha DAP Sabah, Junz Wong turut mengumumkan keluar parti bersama-sama Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Joan Goh dan Naib Pengerusi DAP Sabah, George Hiew.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Lajim berkata beliau akan menubuhkan parti baharu tempatan dan kini sedang dalam proses pendaftaran serta menunggu kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Kami mengharapkan dalam tempoh terdekat ini RoS akan memberikan kelulusan. Saya akan umumkan nama parti selepas mendapat kelulusan,” katanya, dan menambah parti baharu tempatan itu adalah parti berbilang kaum.

Lajim juga berkata parti baharunya itu akan bekerjasama dengan parti pembangkang tempatan di Sabah termasuk parti baharu yang ditubuhkan bekas naib presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal. — Bernama

Advertisement