Anda di sini

Tanam lada sulah secara komersil, kata Ghani

Advertisement
 Ketibaan Ghani disambut oleh ahli-ahli PPK Nabawan.

BERI GALAKAN: Ketibaan Ghani disambut oleh ahli-ahli PPK Nabawan.

NABAWAN: Penanaman lada sulah mampu jana pendapatan kepada penduduk kampung di luar bandar di negeri ini jika ia diusahakan secara komersil.

Presiden Kehormat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Nabawan Datuk Abdul Ghani Datuk Mohd Yassin berkata, ini kerana harga sekilo lada sulah ketika ini mencecah RM37 sekilo.

Selain itu katanya, turut mendapat permintaan yang tinggi di pasaran beberapa negara luar.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan seminar penanaman lada sulah anjuran PPK Nabawan dengan kerjasama Lembaga Lada Malaysia (LLM) yang diadakan di Dewan Serbaguna Nabawan di sini pada Khamis.

Katanya, di kawasan pedalaman negeri ini hanya terdapat dua pengusaha giat melaksanakannya iaitu di Daerah Kecil Kemabong dan Sook secara besar-besaran.

Jelas beliau, sekiranya ada penduduk kampung di luar bandar yang belum menanamnya dan mempunyai tanah yang luas serta berminat untuk mengusahakan secara kecil-kecilan PPK sedia membantu untuk menyalurkan informasi daripada LLM kepada petani

Beliau berkata, walaupun ia diusahakan kecil-kecil pada mulanya namun ia bagi jangka panjang ia akan memberi pendapatan yang lumayan kepada pengusahanya.

Justeru katanya, golongan petani khususnya ahli Pertubuhan Peladang di kawasan ini perlu menyahut saranan LLM yang telah memperkenalkan tanaman lada sulah di negeri ini.

Ghani yang juga Ketua UMNO Bahagian Pensiangan berkata, di pihak PPK dan agensi kerajaan berkaitan sentiasa membuka pelbagai peluang kepada rakyat untuk meningkatkan pendapatan sosioekonomi melalui pertanian namun terpulang kepada kebijaksanaan rakyat untuk merebutnya.

Sementara itu dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi PPK Nabawan Marutin Ansiung berkata, setakat ini PPK Nabawan mengusahakan tanaman melalui sistem fertigasi iaitu cili padi, halia, tomato serta sayur-sayuran dan yang terbaharu ialah pisang Sabah dalam menjana pendapatan PPK di sini.

Katanya, PPK Nabawan memainkan peranan sebagai modal untuk memperkenalkan sistem pertanian moden kepada petani selain menyediakan kedai input-input pertanian bagi memudahkan golongan petani di sini mendapatkan bekalan input pertanian yang berkaitan dengan bidang yang diterokai.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Nabawan (Pentadbiran) Djamiluddin Kamaruddin, Pengurus Besar PPK Nabawan Zulkifli Udin, Penolong Hal Ehwal Ekonomi Lembaga Lada Malaysia Elvisam Madun, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Advertisement