Anda di sini

Pembeli rumah mampu milik perlu lebih bantuan

Advertisement

Bajet 2017 juga wajar pertimbangkan insentif untuk pemaju

SEREMBAN: Pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd (MCHB) berharap lebih banyak bantuan disediakan untuk pembeli kediaman mampu milik, terutama pembeli rumah pertama, dalam Bajet 2017 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Okt ini.

Pengerusi MCHB Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata kerajaan sewajarnya juga perlu mempertimbangkan insentif untuk pemaju perumahan bagi menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah yang ditawarkan pada harga mampu milik.

“Permintaan rumah mampu milik melebihi tawaran di pasaran, bagaimanapun kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan, serta lokasi yang tidak menarik menyebabkan masih ramai yang tidak memiliki rumah sendiri,” katanya kepada Bernama selepas acara jemputan golf Matrix dan melawat projek perumahan baharu MCHB di sini, semalam.

Beliau berkata, Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Sembilan yang menetapkan 50 peratus rumah mampu milik dibina dalam setiap projek pembangunan perumahan di negeri itu, perlu diperluaskan ke seluruh negara.

“Ini penting untuk kesejahteraan rakyat kerana kita bukan hanya membina rumah tetapi juga kediaman yang selesa untuk pelbagai lapisan masyarakat.

“Setiap pemaju perlu memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Mohamad Haslah berkata MCHB akan melancarkan 3,000 unit rumah mampu milik di Gadong Jaya, Labu dekat sini pada awal 2017.

“Dengan pelancaran ini nanti, 50 peratus daripada keseluruhan projek perumahan oleh MCHB adalah rumah mampu milik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata projek perumahan terbaharu MCHB, Residensi SIGC Seremban, yang menawarkan 217 unit kediaman jenis banglo, berkembar dan teres, dijangka siap pada suku pertama 2018.

“Konsep Residensi SIGC adalah resort dan kami yakin rumah di sini akan habis dijual kerana lokasinya yang strategik dan harganya yang amat kompetitif,” katanya.

Residensi SIGC, berkeluasan 17.4 hektar dengan Nilai Pembangunan Kasar RM250 juta, akan dilancarkan secara rasmi awal 2017. — Bernama

Advertisement