Anda di sini

Ahli keluarga tebusan rayu dibenarkan kutip derma

Advertisement

 Hariyanti (dua kanan) dan Gustiah (kanan) bersama Sutini, Hasmiah, dan Siarah (belakang) merayu dibenarkan untuk mengutip derma daripada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin untuk menyelamatkan kesemua mangsa tebusan.

SELAMATKAN TEBUSAN: Hariyanti (dua kanan) dan Gustiah (kanan) bersama Sutini, Hasmiah, dan Siarah (belakang) merayu dibenarkan untuk mengutip derma daripada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin untuk menyelamatkan kesemua mangsa tebusan.

TAWAU: Ahli keluarga tebusan kumpulan penculik di Selatan Filipina melibatkan lima kru kapal Serudong Shipping Sdn Bhd merayu supaya dibenarkan mengutip derma daripada seluruh rakyat Malaysia untuk membebaskan kesemua mangsa.

Rayuan itu disuarakan para isteri dan ibu tebusan-tebusan terlibat yang mengakui semakin buntu mencari jalan untuk menyediakan wang tebusan kerana hanya diberikan tempoh lima hari oleh kumpulan penculik selepas panggilan terakhir diterima (26 September).

Kelima-lima tebusan yang dimaksudkan adalah Tayudin Anjut, 45, Abd Rahim Summas, 62, Mohd Ridzuan Ismail, 32, Mohd Jumadil Rahim, 23, dan Fandy Bakran, 26.

Kesemua mereka diculik dalam insiden di perairan Dent Heaven, Tambisan Lahad Datu pada 17 Julai 2016 semasa mengendalikan kapal tunda Serudong 3 dan tongkang Serudong 4.

Hariyanti Hamsih, 31, (isteri Ridzuan) menggambarkan kehidupan mereka kini tidak menentu dan seakan-akan mereka sendiri sedang berhadapan maut semenjak menerima kiriman gambar mangsa yang diacukan senjata api oleh penculik.

“Isnin lepas (26 September), saya ada bercakap dengan suami dan dia memberitahu mereka diseksa dan dipukul malah terpaksa minum air parit dan hanya sesekali menjamah makanan.

“Tangan mereka diikat pada waktu malam dan tidur dalam keadaan basah setiap kali hujan,” katanya pada sidang media di rumah keluarganya di Tanjung Batu Otentik, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Gustiah Sultan, 46, (isteri Tayudin), Hasmiah Lahapi, 50, (ibu Fandy), Sutini Jamalu, 50, (isteri Abd Rahim) dan Siarah Lagenok, 49, (ibu Mohd Jumadil).

Hariyanti turut mendedahkan bahawa suaminya ada memintanya mendapatkan bantuan daripada majikan untuk melepaskan kesemua mangsa yang menjadi tahanan penculik.

Penculik membenarkan mereka bercakap di telefon 10 sehingga 20 minit namun beliau akui takut menghubungi suami kerana belum mampu menyediakan jumlah wang dituntut.

Gustiah pula berkata mengutip derma adalah harapan terakhir mereka kerana buntu mencari jalan lain untuk membolehkan suami dan rakan sekerja suaminya pulang dengan selamat.

“Kami merayu polis supaya memberikan kebenaran kerana kami tidak mempunyai wang untuk membayar tebusan sebanyak 100 juta Peso (RM8.5 juta) seperti yang dituntut penculik.

Gustiah berkata mereka tidak mempunyai wang sebanyak yang dituntut kerana miskin dan hanya mampu memberitahu suaminya bersabar kerana kerajaan juga sedang berusaha.

“Tetapi, sampai bila kami mampu bersabar? Selama lebih dua bulan, satu berita pun (daripada pihak berkuasa) tidak ada kedengaran (perkembangan usaha menyelamatkan tebusan).

“Suami kami menderita di sana dan meminta kami menolong mereka, sedangkan kami pun menderita di sini, apa yang mampu kami lakukan?” katanya.

Beliau merayu supaya kerajaan dan pemimpin juga bersimpati dengan nasib mereka yang sangat mengharapkan kesemua mangsa dapat pulang ke tanah air dengan selamat.

Menurutnya mereka sangat risau memikirkan keselamatan mangsa tebusan dan amat berharap kerajaan mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan kesemua mangsa.

“Tiada guna bertindak hanya selepas ‘sesuatu yang buruk sudah terjadi’ ke atas mereka, dan kami juga merayu kepada pemimpin-pemimpin tempatan supaya tampil membantu kami.

“Sekurang-kurangnya, dengarlah suara kami dan sampaikanlah kepada pihak berkuasa, tolong kami, kami menderita, lawatlah kami kerana kami adalah pengundi kalian,” katanya.

Menyentuh hal berkaitan, Gustiah berkata mereka kini terpaksa bergantung pada wang gaji yang diberikan majikan suami namun masih belum mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan anak-anak mereka yang masih kecil dan bersekolah.

Advertisement