Anda di sini

Suspek bawa anak kaburi kegiatan edar dadah

Advertisement
 Chandra (tengah) bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden Azhar Hamin (dua kiri) dan pegawai yang lain menunjukkan peket dadah jenis syabu selepas sidang media kelmarin.

TUMPAS: Chandra (tengah) bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden Azhar Hamin (dua kiri) dan pegawai yang lain menunjukkan peket dadah jenis syabu selepas sidang media kelmarin.

KOTA KINABALU: Teknik membawa anak untuk mengaburi kegiatan jenayah gagal memperdayakan polis selepas tertangkapnya tiga suspek sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar bandar raya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata ketiga-tiga suspek terbabit ditangkap di kawasan parkir Universiti Apartment Plaza Jalan Sulaman, di sini, kira-kira jam 7.30 malam Isnin lepas.

Menurutnya tangkapan berkenaan melibatkan rampasan dadah terbesar setakat ini di Kota Kinabalu hasil serbuan bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Suspek menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva dan pemandu berkenaan turut membawa dua anaknya masing-masing berumur 4 dan 8 tahun.

“Teknik yang digunakan suspek ini bagi mengaburi kegiatan jenayah mereka dengan menunjukkan seolah-olah mereka sekeluarga berada di dalam kenderaan itu.

“Namun tindakan suspek itu gagal memperdayakan polis dan selepas serbuan dibuat, polis berjaya menemukan satu beg plastik hitam mengandungi 10 peket dadah seberat 503.56 gram,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Beliau berkata dadah terbabit dipercayai jenis syabu dan mempunyai nilai pasaran sekarang sebanyak RM65,000.

Chandra berkata ketiga-tiga suspek adalah lelaki berumur lingkungan 33 hingga 38 tahun dan direman bermula kelmarin.

Selain itu jelasnya, dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan Seksyen 12 (2) dan Sekyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Polis yakin tangkapan ini juga berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak lebih sebulan lepas.

“Kita juga merampas kereta Viva terbabit dan kedua-dua anak suspek kini dalam kawalan polis,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya tidak menafikan sindiket berkenaan turut menyasarkan golongan pelajar.

Advertisement