Anda di sini

NIIT College, Temasek Cartel tandatangan MoU

Advertisement
 Voon (tengah), Wong (dua kanan) dan rakan kongsi lain bergambar bersama model replika pembangunan Tropics City.

MODEN: Voon (tengah), Wong (dua kanan) dan rakan kongsi lain bergambar bersama model replika pembangunan Tropics City.

Tanda kewujudan kerjasama bagi projek pembinaan kampus baharu kolej berkenaan, Tropics City

KUCHING: NIIT College semalam menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Temasek Cartel Sdn Bhd sebuah anak syarikat pemaju hartanah terkemuka, Regal International Group Ltd (Regal).

MoU itu bertujuan mewujudkan jalinan kerjasama antara NIIT College dengan Regal untuk projek pembinaan kampus baharu kolej berkenaan dikenali sebagai Tropics City di lokasi baharu terletak antara Jalan Tun Jugah dan Jalan Song dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NIIT College Anderson Voon berkata MoU itu menandakan satu lagi kejayaan penyedia perkhidmatan pendidikan itu menawarkan pengajian tinggi di wilayah ini dan mencapai status universiti.

“NIIT College akan berada di lokasi baharu iaitu di Tropics City dengan ruang yang dapat menampung lebih 2,000 pelajar pada satu-satu masa.

“Kampus ini dilengkapi kemudahan moden dan gaya hidup akan dikelilingi gedung beli-belah, tempat penginapan, kedai makan, tempat rekreasi dan tempat letak kereta yang banyak,” katanya sebelum berlangsungnya majlis menandatangani MoU di pejabat NIIT College di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini semalam.

Voon menambah penempatan baharu kampus bandar moden itu akan mengambil masa kira-kira tiga tahun iaitu dijangka siap 2019.

Selain itu katanya, misi utama NIIT College ialah menyediakan persekitaran pembelajaran dan pengajaran yang kondusif bagi memperhebatkan lagi pengalaman belajar dalam kalangan pelajar domestik juga antarabangsa.

Beliau mendedahkan, kolej itu mempunyai lesen untuk mengambil pelajar antarabangsa mengikuti pengajian yang ditawarkan di situ.

“Kami berterima kasih kepada Regal kerana memberi peluang kami membesarkan lagi kampus…Memandangkan jumlah pelajar semakin bertambah, masalah bilik kelas, pusat sumber, penginapan dan tempat letak kereta perlu diselesai segera.

“Kami merancang untuk menarik lebih banyak pelajar bermula tahun hadapan terutama dari China, Indonesia, Brunei dan negara lain di Asia Tenggara,” katanya.

Voon memberitahu kampus NIIT College sedia ada hanya dapat menampung 900 pelajar dan bagi tahun ini kolej itu mempunyai 300 pelajar.

Tambahnya, kolej itu merancang menambah bilangan pelajar kepada 400 pada 2017 dan 500 pada tahun seterusnya memandangkan jumlah program pengajian ditawarkan ditambah.

Kampus NIIT College di Tropics City katanya mempunyai ruang lantai seluas 30,000 kaki persegi dilengkapi pelbagai fasiliti antaranya bilik kelas dan perpustakaan.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Regal, Nicholas Wong berkata Tropic City adalah pembangunan ‘vibrant’, menggabungkan gaya hidup dalam perancangan serta pembangunannya.

Katanya Tropics City, merupakan projek pembangunan yang melibatkan kawasan seluas 25 ekar, merangkumi pembangunan bercampur.

Sebagai contoh katanya gedung beli-belah moden dengan ruang peruncitan berkonsepkan kehidupan, keselamatan, bekerja, liburan, hab pendidikan.

Ia turut dilengkapi pusat perubatan dan kedai-kedai makanan serta minuman, tambahnya.

“Manakala gedung beli-belah mewah di situ akan dilengkapi gim, spa, pusat pembelajaran kanak-kanak, kedai serba guna dan kedai-kedai makan yang menjual pelbagai jenis makanan serta minuman.

“Konsep ini adalah inspirasi dari Singapura dan Kuala Lumpur, di bandar raya ini, semua orang sibuk dan tidak mempunyai banyak masa untuk bergerak ke sana sini,” katanya.

Wong juga memberitahu beberapa pangsapuri akan dibina di Tropics City iaitu hampir 500 unit disediakan untuk pelajar, profesional muda serta keluarga.

Pembangunan di situ tambahnya akan disertai akses Internet yang pantas bagi kemudahan serta keselesaan pelajar, penduduk serta warga perniagaan melakukan pelbagai urusan dalam talian.

Hadir sama Ketua Eksekutif NIIT College Dr. Paul Lau dan Pengurus Kewangan Twin Revenue Sdn Bhd Wilfred Bertson Jimbau.

Advertisement