KOTA KINABALU: Melihat Sabah amat mementingkan usaha pemuliharaan alam sekitar, Ripples Consultancy Sdn Bhd mengambil langkah menganjurkan #Karnival Jari Hijau Sabah 2016 bagi meneruskan usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan konservasi kepada masyarakat di negeri ini.
Pengarah Ripples Consultancy Freddy Tan berkata bagi memastikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempunyai medium yang lebih besar untuk mempromosikan usaha konservasi maka, syarikat konsultasi itu mengambil inisiatif menyediakan platform berkenaan.
Kebiasaannya, NGO bergerak secara sendiri meningkatkan kesedaran mengenai konservasi kepada orang awam. Maka, dengan adanya karnival sedemikian, ia diharap dapat menghimpunkan NGO berkaitan untuk bersatu mempromosikan usaha konservasi kepada masyarakat Sabah secara keseluruhannya.
Beliau berkata karnival yang julung-julung kalinya diadakan di Sabah ini akan diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Oktober, bermula pada 8 Oktober depan di pekarangan tempat letak kereta Wisma Budaya. Karnival itu akan berlangsung bermula jam 7 pagi hingga 6 petang.
“Untuk memastikan karnival ini mampu menarik perhatian semua golongan masyarakat terutama belia dan kanak-kanak, penganjur turut menjemput pemuzik buskers dan penghibur tempatan untuk membuat persembahan semasa karnival ini berlangsung.
“Khas buat ibu bapa yang ingin membawa anak-anak, karnival ini akan menyediakan ruangan khas untuk aktiviti kanak-kanak seperti permainan, pendidikan dan hiburan,” katanya.
Dengan adanya penglibatan Grand Illusion yang akan menyediakan ruang permainan seluas 10,000 kaki persegi, ia dijangka mampu menarik lebih ramai kanak-kanak untuk memeriahkan karnival berkenaan.
Freddy berkata sepanjang lapan hari karnival itu diadakan iaitu setiap Sabtu dan Ahad pada bulan Oktober, mereka menjangka seramai 20,000 orang pengunjung akan memeriahkan sambutan karnival itu dalam tempoh sebulan.
Menurutnya, sebanyak 100 gerai akan menyertai karnival itu. Mereka akan menempatkan gerai nurseri pokok, kraf tangan, buah-buahan tempatan, pakaian tradisi Sabah, mainan kanak-kanak serta pakaian.
Selain itu, gerai makanan dan minuman juga akan dibuka demi kemudahan pengunjung yang datang.
Beliau berkata setakat ini, terdapat dua persatuan yang mengesahkan penyertaan mereka dalam karnival itu, iaitu Persatuan Pelindung Ikan Yu Sabah (SSPA) dan Green Child.
Beliau juga menyarankan orang ramai untuk mendaftarkan anak mereka menyertai Green Child iaitu persatuan untuk mempromosi konservasi dalam kalangan kanak-kanak berusia setahun hingga 16 tahun.
“Jika sambutan penganjuran Karnival Jari Hijau ini berjaya mencapai sasaran, Ripples Consultancy mungkin akan meneruskan penganjuran karnival sebegini pada bulan-bulan akan datang,” katanya.
Sementara itu, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai dalam teks ucapannya berharap badan korporat lain di bandar raya ini akan mengikut jejak Ripples Consultancy bagi meningkatkan kesedaran konservasi kepada masyarakat.
Teks ucapannya disampaikan oleh Pegawai Pentadbir Kanan Jabatan Hal Ehwal Korporat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Benedict Lidadun.
Yeo berkata usaha sedemikian seiring dengan langkah DBKK bagi memastikan bandar raya ini bersih, hijau dan sesuai didiami.
Beliau berkata penganjuran program seperti itu amat baik kerana mampu menyediakan medium kepada semua pertubuhan yang memperjuangkan usaha konservasi bagi mendidik dan mempamerkan usaha mereka kepada masyarakat umum.
Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah Tan Sri Wences Angang berkata beliau amat mengalu-alukan penganjuran program sebegini kerana ia mampu meningkatkan kesedaran konservasi alam sekitar.
Diharap agar masyarakat setempat akan memberi sokongan kepada penganjuran karnival ini yang julung-julung kalinya diadakan di Sabah ini.