Anda di sini

SBSR pemangkin ekonomi negeri Sarawak

Advertisement

Oleh Reno Benjamin//

 Julaihi (dua kiri) melawat gerai pameran yang mengambil bahagian pada Ekspo Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MIMEX) 2016 di Pusat Pameran dan Perdagangan Sibu (STEC).

EKSPO PERKAPALAN: Julaihi (dua kiri) melawat gerai pameran yang mengambil bahagian pada Ekspo Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MIMEX) 2016 di Pusat Pameran dan Perdagangan Sibu (STEC).

SIBU: Industri membuat dan membaiki kapal (SBSR) menjadi pemangkin kepada ekonomi negeri Sarawak, selain menjadi penyumbang kelima terbesar kepada pen­dapatan negeri ini.

Menteri Muda Pemban­gunan Industri (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi berkata, industri tersebut akan terus menjadi salah satu daripada 10 industri utama yang akan terus mem­bangun.

“Pada tahun 2015, ber­dasarkan Malaysian Industry Government Group for High Technology (MIGHT), jum­lah kapal yang dihasilkan di Sarawak adalah sebanyak 127 buah kapal dengan nilai ek­sport keseluruhan sebanyak RM389 juta.

“Industri ini akan terus mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri dengan pembukaan hab SBSR di Tanjung Manis, yang akan meningkatkan kapasiti industri pembinaan kapal di Sarawak bagi membina kapal yang lebih besar,” ujarnya ketika berucap merasmikan Ekspo Perkapalan Antara­bangsa Malaysia (MIMEX) 2016 di Pusat Pameran dan Perdagangan Sibu (STEC), semalam.

Menteri Muda Ekono­mi Luar Bandar dan Peri­kanan (Persisir) itu mewakili Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. MIMEX 2016 berlangsung dari 27 hingga 29 September ini.

Menyentuh mengenai MIMEX 2016, Julaihi ber­kata, ia merupakan sebuah ekspo perkapalan yang amat penting di rantau ini, yang menyediakan banyak peluang kepada pempamer atau pe­serta untuk bertemu dengan wakil-wakil syarikat dari pelbagai negara ASEAN.

“Saya yakin pihak industri dalam sektor perkapalan akan memperolehi dan berkongsi idea-idea baharu dan pengeta­huan antara satu sama lain.

“Seperti yang kita sedia maklum, ekspo ini telah me­narik penyertaan dari dalam dan luar negara, yang mem­pamerkan pelbagai produk dan teknologi terkini.

Beliau juga percaya ek­spo itu dapat membantu merangsang sektor perka­palan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk mengenai peluang yang boleh direbut, terutama dari segi peluang perniagaan dan pekerjaan.

Julaihi juga memberitahu, Sarawak amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk menganjurkan MIMEX 2016, yang dilihat seiring dengan usaha kerajaan negeri dalam membangunkan industri maritim.

Difahamkan, seramai 50 syarikat berkaitan dari Sin­gapura, Indonesia, Jepun, Korea, China, Jerman, Thai­land dan Semenanjung Ma­laysia mengambil bahagian dengan mempamerkan pel­bagai produk dan teknologi yang dianggarkan bernilai lebih RM50 juta.

Advertisement