Anda di sini

Prototaip perangkap nyamuk rekaan kakitangan Muzium Negeri Sabah dilancar

Advertisement

 Sintiong (kiri) memberi penerangan kepada Kamarlin (dua kiri) cara-cara prototaip perangkap nyamuk itu berfungsi.

PERANGKAP: Sintiong (kiri) memberi penerangan kepada Kamarlin (dua kiri) cara-cara prototaip perangkap nyamuk itu berfungsi.

KOTA KINABALU: Muzium Negeri Sabah telah melancarkan sebuah prototaip alat perangkap nyamuk.

Pengarah Muzium Negeri Sabah Sintiong Gelet berkata, prototaip berkenaan adalah hasil rekaan kumpulan kakitangan muzium yang mengambil konsep pameran yang dijalankan oleh sekumpulan pelajar universiti.

“Ia adalah satu konsep sama yang mana pelajar berkenaan menggunakan botol minuman dan melihat nyamuk berkenaan tertarik dengan air yang terdapat di dalamnya.

“Alatan ini sebagai satu inovasi yang mana kita memasang corong ke atas untuk memerangkap nyamuk yang masuk untuk membiak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jalan Sihat dan Pameran Khas Khazanah Dari Rimba, di sini, kelmarin.

Beliau berkata dari ujian makmal yang kecil mendapati nyamuk boleh terperangkap pada alatan berkenaan.

“Ujian makmal skala kecil yang menggunakan botol mineral pula menunjukkan nyamuk yang datang akan terperangkap ke dalamnya.

“Daripada itu, kita cuba membina prototaip ini dan akan diperbaiki oleh syarikat yang dilantik untuk menjadikannya satu alatan yang siap.

“Alatan ini dilihat sesuai digunakan di taman awam, persekitaran rumah dan kawasan kampung,” katanya.

Sintiong berkata kos bagi menyempurnakan prototaip berkenaan memakan belanja kira-kira RM3,500.

“Ini kerana ia adalah satu percubaan, namun mengikut syarikat berkenaan, hasil alatan siap dianggarkan kira-kira lebih RM2,000 satu unit,” katanya.

Menurutnya tujuan utama penciptaan prototaip itu adalah berikutan kes Zika yang dicatatkan di Sabah.

“Selain itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mengarahkan kami supaya membersihkan kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk terutamanya kawasan yang dikunjungi oleh orang ramai.

“Maka, daripada idea ini kami dapat hasilkan prototaip berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata prototaip berkenaan dicipta dengan mengambil konsep kitaran pembiakan nyamuk untuk memerangkapnya.

“Usaha ini amat baik kerana Muzium Sabah menjadi tumpuan pengunjung sama ada dalam mahupun luar negeri.

“Kita mahu kawasan muzium ini bebas daripada nyamuk sekaligus dapat mencegah penularan virus Zika,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Datuk Kamarlin Ombi.

Pada majlis itu, Kamarlin melancarkan unit prototaip perangkap nyamuk di Kampung Warisan Muzium Sabah. Beliau turut merasmikan Pameran Khazanah Dari Rimba.

Masidi berkata, pameran berkenaan bertujuan memeperkenalkan dan memberi penghayatan beberapa spesies tumbuhan yang dipilih berdasarkan habitat seperti hutan tinggi, tanah tinggi, tanah pamah, tepian sungai dan hutan bakau serta kegunaan tumbuhan berkenaan kepada orang ramai terutamanya generasi muda.

“Pameran ini juga bertujuan mendidik khususnya para generasi muda tentang tanggungjawab bersama secara berterusan untuk menjaga warisan sumber tradisi nenek moyang kita,” jelasnya.

Sementara itu, program Jalan Sihat atau gotong-royong yang dijalankan sekitar kawasan Muzium Negeri Sabah itu bertujuan membersihkan dan mengutip bahan buangan yang boleh menjadi tempat takungan air seterusnya tempat pembiakan nyamuk.

Pada program juga, satu acara penanaman pokok dijalankan di kawasan berkenaan.

Advertisement