Anda di sini

Kedutaan AS yakin perjanjian TPP akan dapat kelulusan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia yakin perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan mendapat kelulusan AS kerana negara itu juga mahu menjadikannya satu kenyataan, kata Timbalan Ketua Perwakilan Edgard D. Kagan.

Beliau bagaimanapun berkata, adalah kurang bijak bagi diplomat membuat spekulasi mengenai apa yang penggubal undang-undang mereka akan lakukan.

“Mustahil bagi saya membuat spekulasi mengenai apa yang akan berlaku, tetapi saya yakin kerana saya percaya TPPA sememangnya menjadi keutamaan Amerika Syarikat,” katanya.

Kagan berkata jika proses dibuat secara saksama dan terbuka, TPPA akan mendapat sokongan AS.

Beliau berkata, secara amnya beliau yakin TPPA baik untuk AS dan juga negara lain yang menandatanganinya.

“Presiden (Barack) Obama telah menyatakan dengan jelas, beliau komited untuk memastikan TPPA diluluskan dalam tempoh pemerintahan beliau.

Beliau telah menyatakannya secara terbuka beberapa kali,” kata Kagan kepada Bernama di luar majlis wacana, ‘King’s Discourse ‘TPPA: What Now. What Next? A Frank Discussion’, di sini baru-baru ini.

Merujuk kepada mesyuarat yang diadakan baru-baru di pejabat Presiden dengan pegawai berkaitan untuk menjelaskan mengenai faedah TPPA, beliau berkata: “Jelas terdapat sokongan terhadap TPPA dan pada masa yang sama terdapat juga perdebatan mengenai perdagangan di Amerika Syarikat serta kebimbangan yang disuarakan mereka.

“Bagi perdagangan, adalah sangat jelas dan kukuh. Memang kita faham, ada pihak yang masih meraguinya.

“Tetapi, saya berpendapat apabila telah dibuat dan apabila dilihat secara adil dan objektif, manfaatnya sangat jelas.”

Kagan berkata jika rakyat melihat kepada asas fakta serta tujuan TPPA itu, mereka akan menyokongnya. — Bernama

Advertisement