Anda di sini

ATVETC 2016 tempat tepat bincang isu TVET

Advertisement

SERDANG: Pelaburan dalam bidang kemahiran penting untuk membantu negara membuat penyesuaian terhadap perubahan dari segi amalan bekerja, teknologi dan cabaran berkaitan globalisasi, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Beliau berkata, di sesetengah negara, proses ini diurus dengan berjaya dan kemajuan besar dicapai dari segi kadar pertumbuhan dan guna tenaga, tetapi di sesetengah negara pula, ia menyebabkan sektor ekonomi tidak berkembang, meningkatkan kadar pengangguran dan peminggiran sosial yang melibatkan sebahagian besar anggota masyarakat.

Oleh demikian, kata beliau, bersempena Pertandingan Kemahiran ASEAN 2016 (ASC 2016) dan Karnival Kemahiran dan Ekspo Kebangsaan 2016 (KEKK 2016), Persidangan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional 2016 (ATVETC 2016) selama dua hari, merupakan platform sesuai untuk berkongsi dan membincangkan isu berkenaan.

“Persidangan ini bertujuan menjadi langkah pertama ke arah menganjurkan persidangan serantau yang penting pada masa akan datang untuk berkongsi maklumat dan hasil penyelidikan dalam bidang pembangunan kemahiran,” katanya.

Ucapan perasmian beliau dibacakan ketua setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Adenan Ab Rahman pada ATVETC 2016 di sini semalam.

ASC 2016 dan KEKK 2016 berlangsung serentak di Taman Ekspo Pertanian Malaysia  (MAEPS) Serdang mulai kelmarin hingga hari ini (Isnin).

“Persidangan dua hari ini boleh menjadi platform untuk menangani isu penting berkaitan latihan kemahiran, pengiktirafan kemahiran, pewujudan pekerjaan dan guna tenaga dalam ASEAN serta mewujudkan peluang baik untuk membincangkan usaha ke arah meningkatkan hubungan kita dalam ASEAN,” katanya. — Bernama

Advertisement