RANAU: Warga pendidik sebuah sekolah rendah di sini cemas pada malam hari Rabu apabila cerun berhampiran salah satu bangunan di sekolah itu runtuh lalu mengenai dinding bangunan terbabit.
Mujur dalam kejadian kira-kira jam 7.00 malam di Sekolah Kebangsaan (SK) Tagudon Lama itu tiada individu yang mengalami kecederaan walaupun terdapat penjaga dan guru yang tinggal di kuarters berhampiran.
Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (KPPD) Ranau Siti Hamne Hashim ketika dihubungi memberitahu, insiden itu merupakan yang pertama berlaku di sekolah terbabit dan faktor cuaca mungkin mengakibatkan runtuhan.
“Kejadian tanah runtuh berlaku malam semalam setelah hujan turun dengan lebatnya sejak Selasa. Cuaca kering yang panjang sebelum ini mungkin mengakibatkan struktur tanah menjadi longgar.
“Hujan lebat mengakibatkan dinding berhampiran bangunan kelas di suatu sudut sekolah terbabit tergelincir. Tinjauan yang kita jalankan menunjukkan kelodak lumpur dan air keruh mengalir di kawasan terbabit,” jelas beliau.
Bagaimanapun Siti Hamne mengesahkan bahawa keadaan adalah terkawal di mana pihak sekolah mengatur murid-murid yang sepatutnya belajar di kelas terbabit untuk membuat pembelajaran di kelas sementara di sekolah berkenaan.
“Kita sudah meminta Guru Besar SK Tagudon Lama Hamdan Taip untuk pastikan semua barangan dan peralatan berharga serta dokumen penting di bangunan terbabit dipindahkan ke bangunan lain yang tidak terjejas sebagai langkah awal bersedia terhadap apa-apa kemungkinan.
“Kita juga sudah membuat laporan kepada Jabatan Pendidikan Negeri di samping membuat laporan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Ranau untuk memeriksa keadaan cerun berkenaan,” jelas beliau.
Katanya, setakat ini hanya satu insiden seumpama itu dilaporkan di sekitar daerah ini dan mengesahkan bahawa sesi persekolahan dan pembelajaran di SK Tagudon Lama berjalan seperti biasa pada hari Khamis.
Menurutnya, SK Tagudon Lama yang terletak kira-kira 36 kilometer dari Pekan Ranau mempunyai 64 murid termasuk sembilan orang murid prasekolah dan 13 orang guru.