Anda di sini

Sabah-China wujud kerjasama lebih luas untuk kekalkan keamanan, keharmonian

Advertisement
 Majlis Pelancaran Pameran Kebudayaan Masyarakat Tianjin disempurnakan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Teo Chee Kang (lima kiri) bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (tiga kanan) serta Konsulat Jeneral Republik China di Kota Kinabalu Chen Peijie (empat kanan).

KERJASAMA: Majlis Pelancaran Pameran Kebudayaan Masyarakat Tianjin disempurnakan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Teo Chee Kang (lima kiri) bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (tiga kanan) serta Konsulat Jeneral Republik China di Kota Kinabalu Chen Peijie (empat kanan).

KOTA KINABALU: Seiring usaha memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia dan China, Sabah menjangka satu lagi kerjasama lebih mendalam dan luas akan diwujudkan antara negeri itu dan China tidak lama lagi.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, hubungan diplomatik yang terjalin selama 42 tahun antara kedua-dua negara ini dicapai melalui pelbagai usaha dengan berfokuskan kepada visi mengekalkan keamanan, keharmonian dan pembangunan.

Ia seterusnya membawa kepada kerjasama logistik dalam pelbagai bidang dan ini memberikan contoh yang baik kepada wilayah lain bahawa hubungan mesra antara kedua-dua negara mampu memberi manfaat kepada rakyat di negara masing-masing.

Beliau juga menjangka negeri ini akan membangun lebih cepat pada masa akan datang.

Menurutnya, walaupun beliau mengetahui bahawa inisiatif Belt & Road yang dilancarkan oleh Kerajaan China dilaksana secara berperingkat, namun hasilnya sudah dapat dilihat di beberapa negara di sepanjang laluan pelaksanaan inisiatif itu dilakukan.

“Berdasarkan visi pembangunan Sabah dan China, satu kerjasama baharu yang lebih mendalam dan luas dijangka akan diwujudkan,” katanya dalam teks ucapan sempena Majlis Sambutan ke-67 tahun ‘Founding People’s Republic of China’ serta pelancaran Pameran Kebudayaan Masyarakat Tianjin, di sini pada malam Khamis lalu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Musa berkata, dalam tempoh setengah abad China memperlihatkan kepantasan pembangunan hingga menarik perhatian dunia. Ia seterusnya menjadi negara contoh kerana komitmen negara itu untuk mencapai kemajuan dengan kebolehan mereka sendiri.

Menurutnya, usaha lain yang boleh dicontohi adalah langkah China juga turut menyumbang kepada usaha mempromosikan keamanan dunia, kestabilan serta pembangunan.

Pada awal September, semasa menganjurkan G20 Hangzhou Summit, Presiden Xi Jinping turut menyatakan komitmen China untuk menyumbang kepada pentadbiran ekonomi dunia dengan menggunakan konsep dan kebijaksanaan negara itu.

Dalam perkembangan lain, menyentuh mengenai Konsulat Jeneral Republic China di Kota Kinabalu, Musa berkata, konsulat berkenaan banyak menyumbang kepada pelbagai aspek pembangunan pendidikan, budaya, pelancongan dan perniagaan di negeri ini.

“Usaha sebegitu mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara Sabah dan China serta turut memberi manfaat kepada kedua-dua wilayah berkenaan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri juga akan terus menyokong dan memberi bantuan kepada pejabat kamu (Konsulat Jeneral China) pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, beliau amat ternanti-nantikan hubungan kerjasama antara Kota Kinabalu dan Hangzhou yang dijangka akan diwujudkan tidak lama lagi.

Advertisement