Anda di sini

Pewujudan bilik darjah abad ke-21 banyak membantu

Advertisement

KENINGAU: Pewujudan bilik darjah abad ke-21 yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia KPM di negeri ini banyak membantu dalam memperkasakan dan mentransformasikan mutu penyampaian pembelajaran di setiap sekolah yang  telah mewujudkan kelas berkenaan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah JPNS Maimunah Suhaibul berkata, ia merupakan pendekatan terbaik KPM untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, kreatif dan berinovasi kepada para pelajar mengikut peredaran masa ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis perasmian kelas abad 21 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJKC Yuk Yin di sini kelmarin.

Tambah beliau, mewujudkan bilik darjah abad ke-21 perlulah dipelbagaikan dalam menarik minta para pelajar untuk belajar lebih bersungguh-sungguh selain membentuk pelajar yang berilmu, dinamik dan berdisiplin malah di pihak jabatan sentiasa membantu dari segala aspek berkaitan.

Sebagai contoh katanya, usaha pihak Lembaga Pengurusan Sekolah Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di SJKC SK Yuk Yin yang sendiri telah mengeluarkan kos melebihi RM100,000 bagi mewujudkan dua bilik darjah abad ke-21 dengan menyediakan sebanyak 80 biji telefon pintar berserta dengan kelengkapan berkaitan perlu di contohi oleh sekolah yang belum mempunyai kelas sedemikian.

“Untuk melahirkan pelajar abad ke-21 yang celik dari segala-galanya tidak kira teknologi maklumat mahupun akademik warga pendidik perlu berubah,” tegasnya.

Katanya, guru perlu menguasai subjek yang diajar, mahir dan berketerampilan dalam pedagogi iaitu memahami perkembangan murid-murid dan psikologi pembelajaran iaitu berteraskan kognitif dan psikologi iaitu menggunakan teknologi terkini tidak kira semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

Justeru itu katanya, dengan anjakan tersebut warga pendidik mampu melahirkan pelajar abad ke-21 yang bukan sahaja celik teknologi maklumat bahkan bijak menyoal guru ketika dalam sesi pembelajaran.

Dalam pada itu juga, Maimunah turut memuji usaha warga pendidik, PIBG dan masyarakat setempat di pedalaman ini yang telah berusaha mengumpul dana melebihi RM30,000 bagi membantu meringankan beban sebuah keluarga yang ditimpa musibah dengan kehilangan dua orang anaknya yang rentung dalam satu kejadian kebakaran di Keningau baru-baru ini.

“Peranan semua pihak terutamanya PIBG dalam melakukan ibadah amal melalui program tanggungjawab sosial CSR amat dialu-alukan kerana secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan silaturahim semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa,”katanya.

Berucap pada majlis sama, Guru Besar SJKC Yuk Yin Tham Sat Yang berkata, ketika ini 40 biji telefon pintar telah digunakan di bilik darjah tahun lima dan 40 biji telefon pintar lagi akan ditentukan nanti.

Tambahnya lagi, program mengwujudkan bilik darjah abad ke 21 adalah untuk memenuhi anjakan ke-7 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran.

Hadir sama, Pengarah Kolej Vokasional Keningau Johari Sabin,Pegawai Pendidikan Daerah PPD Keningau dan Tenom Masly Wahip dan Ridhuan Yusof,Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Yuk Yin dan Kapitan Liew Ket Lim dan Penasihat Sekolah Penyayang Kebangsaan Datuk Yap Yun Fook,Yang Dipertua PIBG SJKC Yuk Yin Misha Ho,Pengerusi Dewan Perniagaan Tiong Hua Keningau Raymond Koh dan Penyelia unit sekolah cina Chai Ket Min.

Advertisement