Anda di sini

FELDA badan pembangunan tanah paling berjaya di dunia

Advertisement

 Najib (tengah) melambaikan tangan ketika disambut meriah oleh para peneroka FELDA ketika menghadiri Sambutan Hari Peneroka Felda 2016 Peringkat Kebangsaan di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran, semalam. — Gambar Bernama

MERIAH: Najib (tengah) melambaikan tangan ketika disambut meriah oleh para peneroka FELDA ketika menghadiri Sambutan Hari Peneroka Felda 2016 Peringkat Kebangsaan di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran, semalam. — Gambar Bernama

MARAN: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) diiktiraf sebagai badan pembangunan tanah paling berjaya di dunia yang tidak dapat disaingi oleh badan pembangunan tanah di negara lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata walaupun banyak negara luar seperti Afrika cuba mengguna pakai dan mencontohi modul pembangunan FELDA yang diasaskan oleh Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein sejak 60 tahun lalu, namun ia tidak mampu dilaksanakan dengan jayanya.

“Apabila ketua kerajaan mereka datang di Malaysia, kita bawa melawat ke tanah rancangan FELDA dan mereka kagum dan berhasrat untuk membawanya pulang ke negara masing-masing. Kita sendiri hantar rombongan FELDA untuk membantu.

“Bagaimanapun ia tidak menjadi kerana kerajaan mereka tidak mampu untuk melaksanakannya melainkan kita di Malaysia yang berani dan dapat membangunkan FELDA sehingga berjaya dan dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Peneroka Felda 2016 Peringkat Kebangsaan di pekarangan Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini hari ini yang bertemakan ‘Mensyukuri Nikmat, Kebersamaan dan Kebersatuan’.

Turut hadir pada majlis tersebut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad.

Menurut Najib, walaupun FELDA telah mengecapi pelbagai kejayaan sejak penubuhannya itu, namun sebagai pewaris kepada legasi ayahandanya Tun Razak, beliau masih belum berpuas hati dan sentiasa berusaha untuk melakukan lebih banyak penambahbaikan.

“Saya nak lepaskan FELDA cukup susah, patut saya tidak pegang FELDA, tetapi kerana FELDA telah sebati dengan saya dan keluarga, maka saya tetap bersama-sama untuk beri sokongan dan bantuan supaya FELDA akan terus berjaya, dapat lebih banyak keselesaan,” katanya.

Untuk itu, Najib berkata sebagai langkah tranformasi, kerajaan bercadang melakukan penambahbaikan terhadap tadbir urus FELDA dan hal itu akan dibincangkan dengan lebih teliti dalam ‘Makmal Pemantapan Felda’ yang rumusannya akan diumumkan tidak lama lagi.

“Saya dengar di hujung telinga, ada sok sek orang buat memorandum, ada yang dah jumpa saya kata (FELDA) dah ambil buah tetapi bayar lambat, buat rumah tetapi mahal, kutip buah masih bersepah, penyata tak lengkap dan lambat keluar, saya dengar semua ini.

“Sebab itu kita buat makmal bincang secara mendalam dan ada banyak cadangan. Ada 200 hingga 300 cadangan dan saya akan rumuskan, kumpulkan dan tidak lama lagi kita akan umumkan apa yang boleh ditambah baik tadbir urus FELDA supaya boleh ke hadapan,” katanya.

Najib berkata, dalam menghadapi kejatuhan harga komoditi itu di pasaran dunia, kerajaan mengambil pelbagai langkah termasuk mengadakan kerjasama dengan Indonesia bagi meneroka langkah-langkah baharu dalam persekitaran ekonomi global semasa yang kini telah menunjukkan hasil positif.

“Kita ada cadangan supaya harga sawit akan bertambah lebih baik walaupun hakikatnya ia bergantung kepada keadaan ekonomi dunia yang kita tiada kuasa mengawalnya,” katanya sambil berharap masyarakat peneroka terus cekal dan yakin untuk terus bersama-sama FELDA.

Beliau berkata sejak ditubuhkan, FELDA telah banyak berjasa kepada masyarakat peneroka dengan memberi pelbagai kemudahan dan bantuan untuk meningkatkan taraf hidup bagi membolehkan mereka keluar daripada belenggu kemiskinan selaras dengan hasrat ayahandanya.

“Tun Abdul Razak semasa nak bangunkan FELDA pernah berkata mereka yang tiada tanah kita beri tanah (dan tanah yang subur untuk orang baik-baik) ataupun ‘land for the landless and good land for good people’, jadi Tun Abdul Razak anggap semua peneroka orang baik-baik.

“Itulah hasrat Tun Abdul Razak bagi tanah 10 ekar (empat hektar), rumah, dan segala kemudahan lain yang kita tambah lagi sehinggalah pada hari ini wajah FELDA di setiap rancangan sudah jauh beza.

“Peneroka Felda bukan lagi yang dahulu hidup dalam kepompong kemiskinan. Mereka kini tidak dapat lagi dikategorikan dalam golongan orang miskin,” katanya.

Antara kemudahan yang diberikan termasuk pinjaman pembesaran rumah dan FELDA  sehingga kini telah membelanjakan sebanyak RM1.5 bilion untuk pinjaman bernilai RM40,000 tanpa faedah, yang disifatkan sebagai skim pinjaman terbaik yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana bank di dunia.

Sehubungan itu, perdana menteri berharap masyarakat peneroka supaya terus menyokong penuh kerajaan dan institusi FELDA bagi memastikan tanah rancangan itu kekal sebagai kubu kuat kepada kerajaan demi kebaikan bangsa Melayu dan agama Islam.

“Kita jangan lupa siapa yang melahirkan FELDA, kalau tidak lain dan tidak bukan ialah kerajaan yang ada pada hari ini. Jika ada apa-apa masalah tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan, cuma kena sabar, jangan kita runtuhkan apa yang dibina sebelum ini,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Najib turut merasmikan Stadium Tun Abdul Razak milik Felda yang bernilai RM92 juta dengan kapasiti 20,000 penonton di atas tapak seluas lima hektar.

Beliau turut melancarkan modul Gerakan Kesejahteraan Keluarga (GKK) yang merupakan penambaikan dan pembaharuan terhadap modul sedia ada selaras dengan usaha Felda membangunkan modal insan dengan menitikberatkan konsep keseimbangan pembangunan fizikal dan kerohanian. — Bernama

Advertisement