Anda di sini

Tadika KEMAS pilihan nombor satu

Advertisement

Berikutan usaha kerajaan menerusi KKLW memperkasa fungsinya

 Ismail menyampaikan replika kunci Tadika KEMAS Pekan Mesapol kepada Sapawi tanda sembolik penyerahan pada majlis itu.

BAKAL IDOLA: Ismail menyampaikan replika kunci Tadika KEMAS Pekan Mesapol kepada Sapawi tanda sembolik penyerahan pada majlis itu.

SIPITANG: Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tadika) Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) mampu menjadi pilihan nombor satu dengan transfomasi yang dilakukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Keyakinan itu diluahkan oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berdasarkan kepada usaha kementerian yang mahu memperkasakan fungsi Tadika KEMAS.

“Saya yakin Tadika KEMAS berupaya menjadi pilihan nombor satu kepada ibu bapa berdasarkan dengan usaha yang dilakukan oleh kementerian seperti yang dikatakan oleh menterinya,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Program KEMAS4U peringkat negeri di Ulu Sipitang dekat sini kelmarin.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan program itu berkata, kementeriannya akan memperkasakan lagi fungsi Tadika KEMAS.

Beliau berkata, antara inisiatif itu termasuk memastikan program pendidikannya mencapai tahap lebih baik daripada tabika swasta.

Katanya, situasi ketika ini menunjukkan ibu bapa kurang berminat menghantar anak-anak mereka belajar di Tabika KEMAS kerana beranggapan pembelajarannya tidak berkualiti.

“Ibu bapa perlu buang persepsi ini kerana taraf pendidikan di Tabika KEMAS bukan saja setanding, tetapi lebih baik daripada tabika swasta, malah yurannya juga murah.

“Guru-guru lulusan Diploma juga telah ditambah agar institusi pendidikan awal KEMAS menjadi pilihan nombor satu di Malaysia,” katanya.

Katanya, KKLW akan turut menaik taraf semua bangunan daif Tadika KEMAS bagi memperkasakan lagi peranannya khususnya di luar bandar.

Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi, ADUN Lumadan Datuk Ahmad Bujang, Ketua Pengarah KEMAS Amiruddin Ariffin dan Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat.

“Dengan adanya transformasi itu tentunya ibu bapa khususnya di luar bandar akan memilih Tadika KEMAS untuk anak-anak mereka mendapatkan pendidikan awal,” kata Sapawi yang juga pengarah Yayasan Sabah.

Dalam pada itu, Ismail memaklumkan kerajaan telah melancarkan Program Usahawan Bergerak (Mobilepreneur) bagi melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan belia di luar bandar.

Beliau berkata, antara kursus dijalankan di program yang akan dilancarkan di Sabah penghujung tahun ini termasuk, bidang automotif, jahitan, kecantikan, urutan dan pelbagai lagi.

“KKLW menyasarkan seramai 500 peserta di seluruh negara pada tahun ini membabitkan peruntukan RM5 juta iaitu bantuan perniagaan sebanyak RM10,000 seorang.

“Bagi fasa pertama di Sabah, seramai 100 peserta terpilih mengikuti program ini dan daripada jumlah itu, seramai 60 orang akan menerima bantuan dengan unjuran peruntukan RM600 ribu, manakala, selebihnya akan mendapat bantuan sama pada fasa kedua,” katanya.

Pada majlis itu juga, Ismail telah meluluskan permohonan lampu jalan Kg. Ulu Sipitang dan paip graviti di beberapa buah kampung di DUN Sindumin.

Advertisement