Anda di sini

Pakej lawatan ke Langkawi dapat sambutan hangat di Guangzhou

Advertisement

Tempahan meningkat susulan penerbangan terus disediakan AirAsia

LANGKAWI: Pakej lawatan ke Langkawi yang diadakan oleh ejen pelancongan di Guangzhou mendapat sambutan menggalakkan dengan tempahan awal dibuat untuk melawat destinasi pelancongan itu Mei tahun depan.

Cody Qudi dari GZL International Travel Services Ltd, ejen pelancongan terkemuka di bandar raya terbesar di selatan China, berkata tempahan itu telah meningkat berikutan pengenalan perkhidmatan penerbangan terus yang disediakan AirAsia, Januari lalu.

Beliau berkata kekerapan jadual penerbangan yang telah meningkat kepada empat kali seminggu juga memberi peluang lebih banyak kepada pelancong dari Guangzhou untuk melawat Langkawi.

“Untuk dua bulan lalu sahaja, kami mengatur lebih 800 pelancong dari Guangzhou untuk melawat Langkawi dan masih lagi ada yang akan datang,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini.

Menurut beliau, pelancong China terutama dari sebelah selatan negara itu, melihat Langkawi sebagai destinasi pilihan untuk lari daripada kesibukan kota.

Cody adalah di antara 16 anggota delegasi ejen pelancongan dan penulis majalah dari Guangzhou yang berada di sini sejak Isnin lalu bagi lawatan suai kenal yang diatur Tourism Malaysia.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Century Holidays International Travel  Creamy Chan berkata lebih banyak bilik hotel diperlukan di Langkawi bagi memenuhi permintaan pelancong China yang semakin meningkat.

Beliau berkata pernah berlaku beberapa kali di mana pelancong negara itu terpaksa menangguhkan lawatan mereka berikutan ketiadaan bilik terutama semasa waktu puncak.

Pengurus Pemasaran Tourism Malaysia di Guangzhou Tracy Li berkata pelancong dari wilayah Guangdong boleh menyumbang sebahagian besar kepada sasaran Malaysia untuk menarik kedatangan empat juta pelancong dari China menjelang 2018.

Beliau berkata bagi pelancong ini, Langkawi merupakan destinasi mewah yang menawarkan tempat tinggal bertaraf lima bintang pada harga berpatutan, pilihan makanan dan minuman yang sedap dan juga hebat sebagai pusat hiburan pelancongan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LADA Tan Sri Khalid Ramli berkata minat mendalam yang ditunjukkan oleh ejen pelancongan Guangzhou perlu dilihat sebagai satu isyarat bagi penggiat pelancongan Langkawi supaya bersiap sedia bagi menyambut kedatangan pelancong yang lebih besar dari China.

Beliau berkata ia hanya menunggu masa bagi pelancong China, yang pada masa ini merupakan pelancong kedua terbesar selepas pelawat dari Timur Tengah, untuk menjadi jumlah pelancong terbesar melawat Langkawi.

Katanya statistik menunjukkan sejak empat tahun lalu sejumlah 504,745 pelancong China melawat Langkawi dan sejak itu jumlah itu terus meningkat. — Bernama

Advertisement