Anda di sini

UOB unjur peruntukan RM47 bilion untuk perbelanjaan pembangunan

Advertisement

KUALA LUMPUR: United Overseas Bank (M) Bhd (UOB) mengunjurkan peruntukan tinggi sedikit untuk perbelanjaan pembangunan sebanyak RM47 bilion dalam Bajet 2017 Malaysia berbanding RM46 bilion pada 2016.

Pakar Ekonominya, Julia Goh berkata, perbelanjaan pembangunan akan ditumpukan kepada pengangkutan, logistik, pendidikan, kesihatan, perumahan, pertahanan dan keselamatan negara, pertanian dan pembangunan luar bandar.

“Kami tidak menjangka projek pembinaan mega baharu dalam bajet akan datang.

“Kerajaan akan terus melaksanakan projek pembinaan dan pengangkutan, termasuk Transit Aliran Massa Dua dan Tiga, Transit Aliran Ringan Tiga, Bas Rapid Transit, lebuh raya dan lapangan terbang,” katanya dalam pratonton Bajet 2017 oleh UOB.

Kerajaan membelanjakan lebih RM30 bilion ke atas infrastruktur kereta api sejak empat hingga lima tahun lepas dan dijangka membelanjakan RM40 bilion lagi bagi meningkatkan kesinambungan, katanya.

Bajet 2017, bertema ‘Mempercepat Pertumbuhan, Memastikan Kebijaksanaan Fiskal, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat’ akan dibentangkan di Parlimen pada 21 Oktober.

Goh berkata, berikutan pendapatan kerajaan yang ketat disebabkan harga minyak yang rendah serta pertumbuhan lebih perlahan, bank itu percaya pelan pengembangan perlu dilakukan dengan disiplin fiskal bagi mengelak risiko prospek negara atau penurunan penarafan.

“Kami berpendapat perbelanjaan lebih tinggi kerajaan akan ditumpu kepada bidang pertumbuhan seperti pengangkutan, logistik, ekonomi digital, eksport nilai tambah, pelancongan, pemberian tunai BR1M yang lebih tinggi, pelepasan cukai untuk golongan berpendapatan sederhana, hartanah dan perumahan mampu milik,” katanya.

Sementara itu, mengenai langkah untuk sektor hartanah, Goh berkata, bank itu menjangka bajet akan datang akan terus memberi tumpuan menangani pelbagai isu mengenai perumahan mampu milik.

“Ini termasuk memudahkan transaksi pinjaman antara pembeli kali pertama dan bank, di mana mereka yang baru memasuki pasaran kerja boleh mendapat pinjaman penuh bagi pembelian rumah di bawah RM300,000.

“Kemungkinan lain ialah melanjutkan pengecualian 50 peratus duti setem ke atas perjanjian pindah milik dan pinjaman bagi hartanah di bawah RM500,000,” katanya. — Bernama

Advertisement