Anda di sini

Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan bantu industri berkembang pesat: Ahmad

Advertisement
 Ahmad menyusun bungkusan pos ketika melawat Pusat Mel Nasional Shah Alam kelmarin. Turut hadir Mohd Shukrie (kanan) dan Mohamed Razeek (dua kanan). — Gambar Bernama

LAWATAN: Ahmad menyusun bungkusan pos ketika melawat Pusat Mel Nasional Shah Alam kelmarin. Turut hadir Mohd Shukrie (kanan) dan Mohamed Razeek (dua kanan). — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi akan menyokong industri e-dagang di Malaysia untuk berkembang lebih pesat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan berkata, pelan itu merupakan usaha proaktif kerajaan untuk e-dagang menjadi platform terpenting sekali gus berupaya memasarkan produk dan perkhidmatan.

“Sektor e-dagang dilihat akan terus berkembang, dan telah menjadi sebahagian trend baharu masyarakat di negara ini, apabila ia menunjukkan peningkatan penggunaan platform e-dagang pada sekitar 20 peratus setiap tahun.

“Justeru, kerajaan memberi perhatian penuh dalam pembangunan e-dagang, ini termasuk menubuhkan Majlis e-Dagang Kebangsaan selain merangka beberapa perancangan lain, termasuk mewujudkan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja di Pusat Mel Nasional, Pos Malaysia Berhad di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh; Ketua Pengawai Operasi Perkhidmatan, Pendidikan dan Pertahanan DRB-Hicom Berhad Datuk Mohd Razeek Md Hussain serta Ketua Pusat Parcel Bersepadu, Pusat Mel Nasional, Syed Zulnurin Syed Loed.

Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan bertujuan meningkatkan pertumbuhan e-dagang dalam negara daripada 10.8 peratus ketika ini kepada 20.8 menjelang 2020.

Ia merupakan hasil perbincangan antara MITI, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan akan dibentangkan kepada kabinet tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata Pos Malaysia adalah contoh terbaik melibatkan sektor e-dagang apabila mencatat penguasaan pasaran sebanyak 30 hingga 35 peratus bagi pengendalian penghantaran sekali gus menjana perolehan RM600 juta daripada aktiviti itu pada 2015.

Katanya, perolehan tersebut merupakan peningkatan enam kali ganda berbanding pada 2011 yang hanya mencatatkan RM100 juta.

“Prestasi Pos Malaysia itu dilihat antara contoh perkembangan baik dalam sektor e-dagang di negara ini selain membuktikan kemampuan mereka mengendalikan perkhidmatan sistem penghantaran, yang merupakan antara terbaik di rantau Asia,” katanya. — Bernama

Advertisement