Anda di sini

MPOB sentiasa memberi tumpuan kepada R&D ciptaan baharu

Advertisement
 Ahmad (tiga kiri) diberi penerangan oleh wakil syarikat Eurostar Tractors ketika melawat pameran sempena Seminar Mekanisme Minyak Sawit di Sandakan kelmarin. — Gambar Bernama

PENERANGAN: Ahmad (tiga kiri) diberi penerangan oleh wakil syarikat Eurostar Tractors ketika melawat pameran sempena Seminar Mekanisme Minyak Sawit di Sandakan kelmarin. — Gambar Bernama

SANDAKAN: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sentiasa memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan ciptaan serta jentera baharu, di mana banyak peralatan telah diperkenal ke dalam industri itu.

Pengerusi, Datuk Wira Ahmad Hamzah berkata, dengan penubuhan Pusat Kejenteraan Ladang (PKL), MPOB komited dalam membangunkan teknologi baharu dalam kejenteraan ladang bagi memenuhi keperluan sektor perladangan.

“Dengan PKL, usaha telah dipertingkat dalam membangunkan jentera yang sesuai.

“Kami juga menjalankan penyelidikan dan mengubah suai jentera dan peralatan bagi memudahkan kerja di lapangan serta meningkatkan kecekapan ladang dan prestasi buruh.

“Usaha MPOB setakat ini telah menghasilkan lebih 35 ciptaan termasuk Cantas, Grabber, Motorcycle Trailer, Rhynio dan Beluga, sebahagian daripadanya sudah pun dikomersilkan,” katanya dalam ucapan perasmian Seminar Kejenteraan Kelapa Sawit di sini, kelmarin.

Ahmad berkata, operasi ladang kelapa sawit daripada penuaian, pemunggahan tandan buah segar, memuatkan ke laluan utama pengangkutan, aplikasi baja dan kawalan racun perosak, telah berjaya dilaksana dengan jentera.

“Kita boleh katakan yang kejenteraan ladang dalam industri kelapa sawit telah mencapai kejayaan penting dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup tenaga kerja,” katanya.

Ahmad berkata, dalam usaha meningkatkan penggunaan jentera, MPOB telah memperkenalkan Skim Insentif Kejenteraan Industri Kelapa Sawit di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bagi meningkatkan produktiviti dan penggunaan jentera dalam operasi ladang.

“Skim ini menawarkan diskaun sehingga 20 peratus daripada harga jentera itu kepada pembeli,” katanya dengan menambah, anggota industri perlu merebut peluang itu bagi mengembangkan operasi kejenteraan mereka. — Bernama

Advertisement