Anda di sini

MITI yakin jumlah dagangan meningkat 1-2% tahun ini

Advertisement

Kerajaan beri sokongan inisiatif yang berterusan, kata Chua

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yakin jumlah dagangan akan berkembang sebanyak satu hingga dua peratus tahun ini meskipun kelembapan ekonomi, dengan sokongan inisiatif berterusan oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Datuk Chua Tee Yong berkata Julai mencatatkan lebihan dagangan yang rendah pada RM1.91 bilion.

“Bagaimanapun, kami yakin, Ogos dan September, dengan inisiatif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia mengadakan ekspo perdagangan dan melaksanakan misi perdagangan, lebihan berkenaan akan meningkat.

“Bagaimanapun, yang paling penting ialah bagi kita meneruskan usaha untuk mempelbagaikan perniagaan, meneroka pasaran baharu dan terus mewujudkan produk dan perkhidmatan baharu yang akan memenuhi keperluan pasaran,” katanya kepada pemberita semasa Program Ramp-Up (RUP) di sini semalam.

RUP, yang merupakan inisiatif MATRADE, diadakan di LH Plus Sdn Bhd, pengeluar plastik, yang telah menamatkan program pembangunan syarikat peringkat pertengahan selama sembilan bulan.

Menurut Chua, program itu merupakan contoh usaha mempelbagaikan perniagaan dalam kalangan syarikat peringkat pertengahan, yang mempunyai hasil tahunan antara RM50 juta hingga RM500 juta dalam sektor pembuatan manakala RM20 juta hingga RM500 juta dalam sektor perkhidmatan.

Beliau berkata walaupun syarikat multinasional penting, kerajaan juga memberi tumpunan kepada menghasilkan syarikat yang berjaya dalam kalangan syarikat peringkat pertengahan dan bagi meningkatkan pertumbuhan eksport mereka.

“Kami berharap mereka (syarikat peringkat pertengahan) akan meningkatkan eksport mereka kepada 50 peratus menjelang 2023 daripada 36.66 peratus tahun lepas,” katanya.

Pada 2015, jumlah eksport bagi syarikat peringkat pertengahan di bawah program itu (gelombang 1 dan 2) mencatatkan pertumbuhan sebanyak RM1.52 bilion hingga RM5.67 bilion daripada RM4.15 bilion pada 2014.

Di bawah RUP, syarikat peringkat pertengahan dijangka mengembangkan eksport mereka sebanyak tujuh peratus setahun.

Lebih 100 syarikat peringkat pertengahan terlibat dalam gelombang pertama dan kedua program itu yang diwujudkan 2014. — Bernama

Advertisement