Anda di sini

KWAP harap ada insentif untuk sektor perkhidmatan

Advertisement

Membantu sektor itu berkembang, merancakkan ekonomi

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berharap Bajet 2017 akan menyediakan insentif atau pengurangan cukai untuk sektor perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata langkah itu akan membantu sektor berkenaan berkembang dan sekali gus merancakkan ekonomi.

“Sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, industri ini akan mendapat manfaat daripada insentif atau pengurangan cukai berkenaan,” katanya kepada pemberita di luar Forum Ekuiti Swasta 2016 anjuran KWAP di sini, semalam.

Sementara itu, seorang pengurus dana ekuiti swasta berharap Bajet 2017 akan menyokong pembangunan syarikat berasaskan teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Seed Ventures (CSV), Dzuleira Abu Bakar berkata kerajaan melaksanakan pelbagai usaha untuk mempertingkatkan syarikat berasaskan teknologi dan inovasi sejak beberapa tahun lepas.

“Saya berharap lebih banyak peruntukan untuk syarikat teknologi atau usaha inovasi,” katanya.

CSV adalah cabang modal teroka pembiaya peringkat awal utama Malaysia, Cradle Fund Sdn Bhd, dan mengurus dana teroka peringkat awal berpangkalan luar Malaysia. — Bernama

Advertisement