KOTA KINABALU: Mah-kamah Sesyen di sini mengenakan hukuman penjara 18 tahun dan enam sebatan terhadap seorang lelaki, atas kesalahan kesalahan merogol seorang kanak-kanak.
Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman terbabit terhadap Shamsul Rijal Abdullah, 64, selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 376 (2) (e ) Kanun Keseksaan.
Hukuman yang diperuntukkan, boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh merogol mangsa yang berusia enam tahun tiga bulan, pada 25 September tahun lalu antara jam 5 petang hingga jam 6.30 petang, di dalam sebuah kereta di Sook, daerah Keningau.
Dalam rayuan, peguam Datuk Norbert Chin yang mewakili tertuduh memohon hukuman anak guamnya diringankan, kerana tertuduh memberikan kerjasama dengan pihak polis semasa siasatan dijalankan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Husna Abd Halim menyatakan, tertuduh tidak pernah menyesal atas kesalahan yang dilakukan.
Menurutnya, tertuduh sepatutnya dikenakan separuh daripada hukuman maksimum seperti yang termaktub dalam peruntukan.
Tegasnya, tertuduh seharusnya tidak mengambil kesempatan ke atas mangsa yang masih kecil dan terpaksa mengalami trauma seumur hidup.
Dalam pada itu, mahkamah membenarkan rayuan tertuduh untuk menangguhkan menjalani hukuman sebat, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Azreena juga memerintahkan tertuduh membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa sebanyak RM10,000 atau penjara enam bulan.
Shamsul juga dikenakan pengawasan polis selama tempoh dua tahun.