Anda di sini

Tiga nelayan Indonesia dibebaskan penculik selamat tiba di Jakarta

Advertisement

KOTA KINABALU: Tiga nelayan warganegara Indonesia yang dibebaskan kumpulan Abu Sayyaf selepas diculik pada 9 Julai lepas, selamat tiba di Jakarta semalam.

Konsul Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu Akhmad DH Irfan berkata tiada wang tebusan dibayar kepada penculik bagi mendapatkan pembebasan tiga rakyatnya itu.

“Semua warganegara Indonesia dalam keadaan yang baik dan telah menaiki pesawat tentera Indonesia bersama-sama Menteri Pertahanan kami (Indonesia) Ryamizard Ryacudu.

“Saya tidak dapat memaklumkan jam berapa mereka sampai di Jakarta dan difahamkan penerbangan mereka terus dari Filipina,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Akhmad berkata beliau difahamkan Ryamizard bertemu dengan Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana pada Khamis lepas (15 September) di Manila dan mengadakan perbincangan dengan pihak Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) mengenai pembebasan tiga nelayan Indonesia itu.

Kesemua nelayan itu dibebaskan kumpulan Abu Sayyaf pada Sabtu lepas di Zamboanga, Filipina sebelum diserahkan kepada Ryamizard keesokannya.

Mereka ialah Lorence Koten, 34, Teo Dorus Kopong, 42, dan Emanuel, 46, yang diculik Abu Sayyaf pada 9 Julai lepas ketika menangkap ikan kira-kira 3.6 batu nautika dari Kampung Sinakut, dekat Lahad Datu.

Akhmad berterima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia, khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Polis Diraja Malaysia yang turut memainkan peranan dalam siasatan kes tiga warga Indonesia itu.

Beliau turut menyambut baik saranan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun supaya semua bot nelayan dilengkapi dengan alat komunikasi Sistem Pengesanan Automatik (AIS).

Dalam pada itu, beliau mencadangkan nelayan tempatan atau Indonesia supaya menjalankan aktiviti menangkap ikan secara berkelompok di perairan negara.

Langkah itu membolehkan bot nelayan berdekatan menghulur bantuan atau menghubungi pihak berkuasa berdekatan jika rakan nelayan lain berdepan penjenayah di perairan negara termasuk penculik. — Bernama

Advertisement