FORUM: Kelihatan duduk dari kiri Mary, Hamsa, Yazri, Johan, Raziffah merakam gambar kenangan bersama selepas tamatnya sesi penyampaian forum mengenai bunuh diri, kelmarin.
KOTA KINABALU: Kadar kematian akibat bunuh diri di Sabah perlu diambil serius oleh semua pihak meskipun jumlah kes itu yang dibawa ke mahkamah belum pada tahap yang membimbangkan.
Pegawai Bahagian Risikan dan Operasi (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sabah Deputi Superintenden Yazri Ismail berkata, ia berikutan perolehan data melibatkan kes bunuh diri di negeri ini menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.
“Walaupun di Sabah masih tiada laporan untuk si pelaku dihadapkan ke mahkamah, perbuatan sebegini perlu diambil serius oleh semua pihak memandangkan kes ini sudah menjadi tabiat masyarakat awam.
“Dipercayai, perbuatan ini sering dilakukan pada jam 10 malam hingga 6 pagi dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti gantung diri, terjun bangunan, minum racun, serta kaedah lain seperti tembak diri dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada Forum mengenai Bunuh Diri sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2016, di sini kelmarin.
Katanya, antara punca berlakunya kes berkenaan disebabkan individu itu mengalami trauma, pengalaman hidup yang teruk, putus cinta, masalah kemiskinan, masalah keluarga dan sebagainya.
Bagi seluruh Malaysia pula, Yazri berkata, jumlah kes bunuh diri sehingga tahun lepas adalah sebanyak 425 kes berlaku jam 6 pagi hingga 12 tengah hari yang kebanyakannya melibatkan kaedah gantung diri.
“Mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan, individu yang cuba untuk membunuh diri akan dijatuhkan hukuman penjara setahun, dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
“Bagi Seksyen 305 Kanun Keseksaan pula, sesiapa yang menghasut juga akan dikenakan hukuman penjara tidak kurang 20 tahun dan dikenakan denda,” jelasnya.
Sementara itu Timbalan Pengerusi Befrienders Kota Kinabalu (BFKK) Johan Amilin berkata, forum yang julung kali diadakan itu melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Hospital Mesra Bukit Padang, dan Persatuan Undang-Undang Sabah.
Katanya, seramai 111 peserta hadir pada forum berkenaan yang terdiri daripada para pelajar universiti awam, persatuan sukarelawan Befrienders, dan badan bukan kerajaan (NGO).
Katanya lagi, forum itu bertujuan memberi pemahaman mengenai hal berkaitan kes bunuh diri seterusnya kaedah yang terbaik untuk mencegah penularan masalah itu dalam kalangan masyarakat.
Forum dimulakan dengan penceramah pertama iaitu Pemangku Pengarah Hospital Mesra Kota Kinabalu Dr Raziffah Abd Rahman dengan tajuk ‘Mental Health, Causes of Suicides’ disusuli tajuk forum ‘Suicide in Sabah’ mengikut prespektif PDRM oleh Yazri.
Seterusnya, Ketua Zon 1 Sabah Jabatan Bomba Malaysia Hamsa Isnurdini meneruskan forum berjudul ‘Type of Suicides in Sabah’ mengikut perspektif Bomba diikuti Pengerusi Jawatankuasa Kecil Persatuan Undang-Undang Wanita dan Kanak-Kanak Mary Florence Gomez dengan tajuk ‘Malaysian Law on Suicides’.