Anda di sini

Kerajaan diminta tambah baik kawalan keselamatan di ESSZone

Advertisement

TAWAU: Pemain industri termasuk operator pelancongan, perkapalan dan dewan perniagaan di pantai timur Sabah mahu kerajaan menambah baik lagi kawalan keselamatan di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZone) selepas berlaku penculikan di perairan Pulau Pom Pom di Semporna, pada Sabtu lepas.

Dalam pertemuan dialog antara pemain industri kawasan ESSZone semalam, Pengerusi Gabungan Persatuan Perikanan dan Kapal Nelayan Sabah Arsani Arsat mencadangkan agar perintah berkurung yang dikuatkuasakan sehingga kini dikaji semula berikutan keberkesanan yang masih longgar.

“Apabila perintah berkurung dilaksanakan sepatutnya satu aktiviti pun tidak boleh dilakukan dalam tempoh itu…namun ketika ini masih ada kelonggaran iaitu permohonan permit dibenarkan untuk menangkap ikan,” katanya ketika sesi dialog bagi membincangkan hala tuju keselamatan perairan ESSZone, di sini.

Di samping itu, menurutnya, adalah lebih baik sekiranya anggota Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dapat menjalankan rondaan dua kali dalam tempoh 24 jam di kawasan nelayan menangkap ikan.

“Ini lebih berkesan, kalau mereka buat rondaan setiap masa kami akan rasa lebih terjamin…kerana ketika ini nelayan semakin takut untuk turut ke laut walaupun mengetahui itu sumber pendapatan mereka,” katanya lagi.

Menurutnya, ketika ini terdapat kira-kira 800 bot nelayan komersial di perairan ESSZone namun daripada jumlah itu 40 peratus sudah tidak aktif menangkap ikan terutamanya bot nelayan di Kunak.

Dalam pada itu itu, Arsani turut mencadangkan agar pemasangan Sistem Pengesanan Automatik (AIS) seperti yang disarankan oleh pihak berkuasa dikaji semula berikutan kemampuan para nelayan memasang sistem tersebut.

“Kalau boleh kerajaan bagi kelonggaran ruang dan masa untuk nelayan memasang sistem ini, adalah tidak adil sekiranya nelayan yang tidak memasangnya, tidak dibenarkan menangkap ikan,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah cawangan Tawau, Mohd Aziz Ali mencadangkan agar semua perintah yang dikeluarkan disediakan Prosedur Tetap Operasi (SOP) sebagai usaha memelihara keamanan dan keselamatan di ESSZone.

“Ini penting kita mahu semua yang terlibat tahu peranan masing-masing dan tiada pertindihan tugasan berlaku antara agensi keselamatan,” katanya.

Selain itu, Mohd Aziz turut mencadangkan agar semua pemain industri dilibatkan dalam sebarang perkara berkaitan keselamatan di pantai timur Sabah.

“Kami mahu sekiranya ada mesyuarat berkaitan keselamatan dan polisi, kami juga (pemain industri) dilibatkan…jangan pegawai kerajaan tanya pendapat pegawai kerajaan…tanya dengan pemain industri yang lebih tahu apa yang berlaku di ‘ground’,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi, Pengusaha Pelancongan Tempatan Semporna Karino Jalani berkata bagi keselamatan para nelayan ketika menangkap ikan adalah lebih baik sekiranya ESSCom dapat meletakkan sekurang-kurangnya dua anggota keselamatan di dalam bot nelayan.

“Ini cadangan sepertimana di pusat peranginan, diletakkan anggota keselamatan, mengapa tidak di bot-bot nelayan demi keselamatan mereka,” katanya lagi.

Beliau turut mencadangkan agar mewujudkan satu pasukan bantuan keselamatan terdiri daripada anak-anak tempatan kerana mereka ini lebih arif dengan kawasan sendiri.

“Mereka tahu di mana ada laluan tikus…mereka mahir dengan selok-belok perairan di kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, wakil Persatuan Operator Pusat Peranginan, Jenny Tong berkata kewujudan ESSCom sedikit sebanyak dapat membantu mengawasi pusat peranginan di perairan ESSZone dari terus menjadi sasaran penjenayah rentas sempadan.

“ESSCom menjalankan tugas dengan baik, memantau dan mengawal keselamatan di pusat peranginan…kami lebih rasa selamat, kalau tidak kami pun takut apatah lagi pelancong,” katanya.

Katanya meskipun penculikan berlaku namun, masih banyak pelancong luar negara rata-rata dari China, Jepun dan Korea berkunjung ke pusat peranginan di Semporna. — Bernama

Advertisement