Anda di sini

CIMB-Principal Islamic lancar dana sukuk global pertama Malaysia

Advertisement

KUALA LUMPUR: CIMB-Principal Islamic Asset Management (Ireland) Plc mendapat kelulusan daripada Central Bank of Ireland untuk melancarkan Global Sukuk UCITS Fund, dana global pertama Malaysia di bawah struktur dana Sekuriti Boleh Pindah Untuk Pelaburan Kolektif (UCITS).

CIMB-Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd (CIMB-Principal Islamic) dalam satu kenyataan berkata ia akan bertindak sebagai pengurus pelaburan dan pengedar induk dana tersebut.

“Dana tersebut membuktikan sokongan berterusan CIMB-Principal ke arah membangunkan Malaysia sebagai hab bagi produk kewangan Islam di peringkat global,” kata syarikat itu.

Dana dalam nilai AS dolar itu akan memaksimumkan jumlah pulangan bagi tempoh jangka sederhana dan panjang menerusi kombinasi pertumbuhan modal dan pendapatan dengan melabur terutamanya dalam pelbagai portfolio sekuriti pendapatan tetap patuh Syariah (sukuk) yang diterbitkan oleh kerajaan dan entiti berkaitan kerajaan, korporat atau entiti supranasional yang berpangkalan terutamanya di Timur Tengah dan Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal Islamic Datin Seri Norashikin Mohd Kassim berkata dana itu akan menarik pelabur yang mencari pelaburan beretika dengan pulangan stabil dalam mata wang utama, sebagai contoh, dolar AS, dengan memanfaatkan sukuk penerbit utama, kebanyakannya kredit kerajaan dan kredit berkaitan kerajaan di Timur Tengah dan Asia.

“Kami percaya sukuk menawarkan pulangan risiko terselaras yang kukuh dan pelbagai manfaat kepada pelabur berikutan naik turun yang rendah dan perkaitan yang lebih rendah dengan ekuiti konvensional dan pendapatan tetap,” katanya.

Norashikin berkata CIMB-Principal Islamic menjangka permintaan kukuh terhadap Global Sukuk UCITS Fund itu memandangkan pasaran ekuiti tidak menentu sekarang dan kekurangan terbitan sukuk yang baik dalam pasaran.

“Prospek bagi terbitan sukuk global pada 2016 kekal kukuh disebabkan asas kredit pendasar yang teguh dan keperluan untuk mengakses pasaran modal bagi merapatkan jurang bajet,” katanya.

Dana UCITS itu yang ditadbir oleh peraturan antarabangsa ketat, menyediakan platform terbaik bagi pelabur untuk mendapatkan peluang pelaburan global dengan efisien.

Selain itu, pelabur global boleh memanfaatkan kepakaran pelaburan syarikat tersebut sebagai pengurus aset patuh syariah utama, kata Norashikin.

Dana itu akan ditawarkan kepada pelabur bagi pelaburan minimum AS$1,000 dan ideal bagi mereka yang ingin mendapatkan portfolio pelbagai dan peningkatan modal bagi tempoh jangka panjang.

Dana itu memiliki harga tawaran awal AS$10.00 sesaham manakala penasihat Syariah bagi dana tersebut ialah CIMB Islamic Bank Bhd.

CIMB-Principal Islamic menawarkan penyelesaian pelaburan Islam kepada pelabur institusi global dan perkhidmatan sub-nasihat (pengurus sub-pelaburan) kepada dana amanah pelaburan kolektif. — Bernama

Advertisement