Anda di sini

Penganggur ditahan memiliki senjata dan bahan letupan

Advertisement

KOTA KINABALU: Tindakan penganggur lelaki yang melarikan diri sejauh kira-kira 10 kilometer daripada pihak polis kerana memiliki beberapa senjata berbahaya dan bahan letupan membawa padah sebaik terbabas dan ditahan di Jalan Lembaga Padi, Inanam di sini Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata, suspek ditahan selepas didapati memiliki seunit bahan letupan dipercayai mercun, dua bilah pisau besi dan buku lima besi.

“Siasatan awal mendapati suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Kelisa bersama tiga lagi rakannya bertindak melarikan diri sebaik dikesan anggota polis peronda dalam keadaan mencurigakan di Luyang.

“Kereta suspek yang dipecut laju itu kemudiannya terbabas di kawasan tepi Jalan Lembaga Padi, Inanam , bagaimanapun tiga rakan suspek berjaya melarikan diri dan pihak polis hanya berjaya menahan suspek berumur 18 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata, suspek terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan dipercayai seorang penganggur selain mempunyai rekod jenayah mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki mercun jenis Tintanium Salutt sepanjang tiga inci yang digunakan dalam pertunjukan bunga api selain mempunyai senjata berbahaya termasuk pisau dan lima besi,” katanya.

Salehhudin berkata, suspek kini direman sehingga Ahad (18 Sept) untuk siasatan selanjutnya.

Menurutnya, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Merbahaya 1958, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan hukuman masing-masing.

Beliau berkata, polis kini sedang memburu tiga rakan sejenayah suspek yang bertindak melarikan diri daripada pihak polis.

 

Advertisement