Anda di sini

Kerusi baharu mampu realisasi pembangunan Kinabatangan

Advertisement

Bolehkan BN beri khidmat lebih baik kepada rakyat: Bung Moktar

KOTA KINABALU: Cadangan menambah satu kerusi baharu bagi Parlimen Kinabatangan dilihat mampu merealisasikan aspirasi kerajaan dalam memberi pembangunan seimbang antara wilayah di kawasan itu, kata ahli Parlimennya Datuk Bung Moktar Radin.

Menyambut baik cadangan penambahan kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Bung Moktar berkata langkah itu bertepatan memandangkan keluasan kawasan Kinabatangan lebih besar daripada Pahang.

“Selaku wakil rakyat memang sukar untuk saya menemui rakyat di seluruh kawasan Kinabatangan dalam masa singkat.

“Dengan adanya penambahan (kerusi baharu) ini, ia akan dapat merealisasikan aspirasi kerajaan dalam memberi pembangunan seimbang di antara wilayah dan tidak ada rakyat atau kawasan yang terpinggir.

“(Peruntukan) pembangunan akan mudah disalurkan terus kepada rakyat melalui wakil rakyat yang dipilih nanti,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Pada Khamis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyenaraikan cadangan pengagihan untuk kerusi baharu itu yang boleh disemak sehingga 14 Okt di pejabat pos dan pejabat daerah.

Kerusi itu ialah N.02 Bengkoka, N.06 Mangaris, N.08 Pintasan, N.13 Pantai Dalit, N.17 Darau, N.24 Tanjung Dumpil, N.27 Dambai, N.44 Tulid, N.47 Telupid, N.51 Sungai Manila, N.58 Lamag, N.61 Segama dan N.70 Kukusan.

Penambahan 13 kerusi yang diluluskan oleh DUN Sabah pada Ogos akan menyaksikan sejumlah 73 kerusi DUN di Sabah. Pada masa ini, DUN Sabah mempunyai 60 kerusi.

Bung Moktar berkata cadangan itu juga membolehkan Barisan Nasional (BN) memberi khidmat lebih baik kepada rakyat dan beliau yakin pembangunan akan cepat direalisasikan dan dimanfaatkan oleh kawasan-kawasan tersebut.

Mengulas dakwaan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin kononnya penambahan kerusi itu membuka peluang kepada warga asing menjadi pengundi hantu pada pilihan raya umum akan datang, Bung Moktar berkata beliau tidak hairan dengan kenyataan pembangkang itu kerana ia semata-mata untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan pemerintah. — Bernama

Advertisement