Anda di sini

Beri perhatian serius masalah dihadapi rakyat

Advertisement

KUALA PENYU: Masalah yang dihadapi oleh rakyat perlu diberi perhatian yang serius dan harus tidak dianggap sebagai perkara yang remeh-temeh.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Isnin Aliasnih berkata, perhatian itu penting bagi memastikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dapat diambil tindakan segera.

“Pihak yang berkaitan termasuklah kakitangan awam perlu memberikan perhatian serius terhadap perkara itu…masalah yang dihadapi oleh rakyat perlu ditangani dan bukannya dibiarkan berpanjangan,” katanya ketika ditemui ketika melawat loji bekalan air, di sini kelmarin.

Isnin bersama-sama wakil rakyat Kuala Penyu Limus Jury, Pegawai Daerah Kuala Penyu Abdul Rahim Yaakub, pegawai Jabatan Air Kuala Penyu Ag Alizan Ag Dullah dan beberapa pegawai kanan daerah menyertai lawatan berkenaan.

Lawatan mengejut bukan hanya ke loji bekalan air Kuala Penyu tetapi juga di beberapa buah kampung yang dikatakan tidak mendapat bekalan air paip.

Isnin berkata, sikap tidak kisah dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat menyebabkan rakyat menuding jari kepada barisan kepimpinan.

Katanya, sekecil manapun masalah rakyat jika dibiarkan rakyat pasti akan menyalahkan barisan kepimpinan.

Menurutnya, ketidakpercayaan dan keyakinan rakyat terhadap barisan kepimpinan sudah tentu hadir dan rakyat akan menganggap apa yang dilakukan oleh barisan kepimpinan selama ini hanya retorik.

“Barisan kepimpinan sentiasa memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat tetapi apa yang kita lakukan perlulah mendapat sokongan daripada semua pihak termasuklah kakitangan awam sendiri.

“Beri perhatian terhadap masalah yang diadukan dan jangan mengambil sikap tidak peduli atau beranggapan perkara itu sebagai remeh-temeh,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman adalah kerajaan yang amat prihatin dengan masalah rakyat.

Menurutnya, kerajaan sentiasa berusaha memastikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dapat diambil tindakan dan tidak dibiarkan berpanjangan.

“Kami (barisan kepimpinan bahagian dan cawangan) sendiri sentiasa diingatkan agar mendekati akar umbi dan memastikan masalah yang dihadapi oleh rakyat ditangani dan kerana itulah kita mahu agar jabatan kerajaan prihatin dengan setiap aduan yang dibuat,” katanya lagi.

Tanpa mahu menyalahkan sesiapa, Isnin memberitahu lawatan mengejut ke loji bekalan air dibuat untuk mencari punca sebenar bekalan air paip tidak dapat diterima oleh penduduk di beberapa buah kampung.

“Kita membawa pegawai yang berkaitan kerana mahu mencari punca masalah itu agar tindakan segera dapat diambil,” katanya lagi.

Advertisement