Anda di sini

4 juta pelancong China disasarkan pada 2018

Advertisement

Sasaran realistik sebab Malaysia menjadi pilihan rakyat China yang gemarkan kepelbagaian: Nazri

JELEBU: Kementerian Pelancongan menyasarkan kedatangan empat juta pelancong China ke Malaysia pada 2018, kata menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam.

Beliau berkata sasaran itu adalah realistik memandangkan Malaysia kini dilihat sebagai destinasi pilihan kepada rakyat negara tembok besar itu yang menyukai kepelbagaian yang ada.

Ini termasuk makanan, pelancongan desa serta jarak perjalanan yang tidak terlalu jauh, katanya.

“Setiap tahun, seramai 140 juta pelancong China melancong ke luar negara. Jadi dengan jumlah itu, Malaysia hanya dapat tahun lepas seramai 1.6 juta orang iaitu kurang daripada satu peratus manakala Thailand pula mendapat sejumlah lapan juta pelancong.

Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, seramai 1.3 juta pelancong dari negara itu direkodkan ke negara ini.

“Jadi oleh kerana pelancong China ini berkualiti dan ada duit, kita berasakan inilah tumpuan yang harus kita beri,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohamed Nazri berada di sini bagi lawatan kerja sehari bersama pegawai-pegawai kanan kementerian untuk melihat produk-produk pelancongan sedia ada di daerah ini selain meneliti potensi lain yang boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan.

“Untuk tahun ini kita menjangkakan memperoleh seramai dua juta pelancong daripada China berkunjung ke negara ini,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada penemuan beberapa serpihan pesawat malang MH370 masih memberi kesan kepada kedatangan pelancong dari negara itu ke Malaysia, Mohamed Nazri berkata setakat ini kedatangan pelancong dari negara itu amat menggalakkan. “Dari segi kedatangan pelancongan daripada China (ke Malaysia) dah pulih sejak kita alami peristiwa itu… dan bertambah baik.

“Rekod kedatangan pelancong China daripada Januari hingga Jun tahun ini menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak enam peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Bagaimanapun, tahun lepas kedatangan pun cukup baik. Jadi saya yakin lama-lama pelancong dari China ada rasa terubat dengan komitmen kita berusaha mencari bangkai MH370.

“Setakat ini saya dimaklumkan mereka berpuas hati dengan apa yang kita buat,” katanya.

Sejumlah 22 serpihan ditemukan setakat ini di Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius dan Tanzania, dengan dua serpihan disahkan manakala empat lagi hampir pasti daripada pesawat Malaysia Airlines yang malang itu.

Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju Beijing pada pagi 8 Mac 2014.

Pesawat itu belum dijumpai walaupun gerakan mencari secara besar-besaran dilakukan di selatan Lautan Hindi, kawasan ia dipercayai mengakhiri penerbangannya setelah melencong daripada laluan asal.

Pada 22 Julai lepas, Malaysia, China dan Australia bersetuju menggantung, tetapi bukan menamatkan usaha mencari Penerbangan MH370 selepas gerakan mencarinya selesai dilakukan di kawasan utama seluas 120,000 kilometer persegi. — Bernama

Advertisement