Anda di sini

Peruntukan RM400 juta naik taraf jalan raya Long Pasia

Advertisement

 Ahmad (bertopi) disambut mesra oleh penduduk Kg Iburu Sipitang.

KUNJUNGAN MESRA: Ahmad (bertopi) disambut mesra oleh penduduk Kg Iburu Sipitang.

SIPITANG: Sejumlah RM400 peruntukan telah diluluskan bagi menaiktaraf jalan raya sejauh kira-kira 125 kilometer di sini tidak lama lagi, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Ahmad Bujang.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti jalan raya melibatkan kampung–kampung yang masih belum diaspal di kawasan pedalaman Sipitang sehingga ke Kg Long Pasia.

“Bagi kemudahan penduduk luar bandar, kerajaan negeri telah meluluskan kira-kira RM400 juta bagi menaik taraf jalan raya sehingga ke Long Pasia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Perancang Bersama Masyarakat Kampung di Bawah Kampung Sejahtera, Penyediaan Pelan Tindakan Kampung Sejahtera Kampung Iburu, di sini, baru-baru ini.

Program itu dianjurkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dengan kerjasama Institut Kemajuan Desa (infra) dan Pejabat Dearah Sipitang.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Matlin Dullah, Pegewai Pembanngunan Masyarakat (PPM) DUN Sindumin Abd Rahman Mohd Noh dan Pegawai Kementerian Belia dan Sukan Daerah Sipitang Nordin Ismail.

Ahmad yang juga pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berharap agar penduduk Kampung Iburu dapat memanfaatkan program yang dianjurkan di kampung itu.

“Kg Iburu beruntung kerana mendapat perhatian kerajaan, dan dengan adanya program yang dibawa oleh KPLB dan Infra ke kampung ini, saya amat berharap agar semua penduduk dapat mengambil peluang semaksimum mungkin bagi meningkatkan taraf kehidupan masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan peralatan sukan daripada pejabat Kementerian Belia dan Sukan Sipitang.

Pada kemuncak acara, Ahmad bersama pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat melakukan penanaman pokok sebagai tanda kenangan pelancaran program Kampung Sejahtera di Kg Iburu.

Advertisement