Anda di sini

Pelbagai produk baharu di Ekspo Kediaman, Perabot Sarawak 2016

Advertisement
 Lai (kanan) menerangkan mengenai produk yang dipamerkan dalam ‘Dark Room’ sambil diiringi Chiang (dua kiri).

MENARIK: Lai (kanan) menerangkan mengenai produk yang dipamerkan dalam ‘Dark Room’ sambil diiringi Chiang (dua kiri).

KUCHING: Warga Kuch­ing dipelawa mengunjungi Ekspo Kediaman dan Perabot Sarawak 2016 terutamanya booth di ‘Dark Room’ yang menawarkan pelbagai produk baharu dan menarik kepada pelawatnya. Bertempat di Pusat Pamer­an CityOne di Pusat Beli-Be­lah CityOne II, pameran yang bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu merupakan anjuran Persatuan Industri Perabot Sarawak dan dibuka kepada orang ramai dari 15 hingga 18 September.

Pengerusi pengelola juga naib presiden persatuan Leo Chiang berkata, ‘Dark Room’ yang disediakan selain booth lain, di­adakan buat kali kedua selepas pertama pada tahun lepas.

“Ekspo turut menumpukan promosi bagi ‘Dark Room’, yang merupakan sesuatu ba­haru dalam program pameran kami.

“Ia melibatkan pameran atau produk seperti lampu selain lebih banyak perseki­taran yang menarik serta mis­teri kepada pelawat yang da­tang,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Ekspo Kediaman dan Perabot Sarawak 2016 yang dihadiri Presiden persatuan Lai King Ming, semalam.

Mengulas lanjut, Chiang berkata pada tahun ini mereka menerima peningkatan dari segi penyediaan booth iaitu 208 booth berbanding 200 booth pada tahun lepas.

“Dari segi pempamer 90 peratus daripada mereka adalah pengusaha tempatan dan ada di kalangan mereka adalah pempamer yang baharu.

“Ekspo ini menyasarkan un­tuk mempromosikan produk pengusaha tempatan teruta­manya Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) kita yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti seperti ini,” katanya sambil memberitahu ekspo yang diadakan merupakan program tahunan persatuan.

Ekspo berkenaan men­umpukan kepada produk seperti barangan perabot, peralatan dapur dan peralatan kediaman termasuk barangan elektrik.

Menurut Chiang, selain itu terdapat aktiviti sampingan diadakan selama empat hari seperti pertandingan mewar­na 3D bagi golongan kanak-kanak, pelajar sekolah dan kolej, pertandingan ujian IQ serta demonstrasi memasak.

“Semua aktiviti ini diadakan sepanjang tempoh ekspo dan ia akan dimulakan pada jam 2 petang dan kita mengalu-alu­kan kedatangan orang ramai untuk menyokong usaha ini.

“Selain itu pempamer kita juga menawarkan harga atau diskaun menarik kepada pelawat atau pelanggan yang datang ke ekspo,” katanya.

Sementara itu, Lai berkata pada tahun lepas, ekspo ber­jaya menarik 10,000 pelawat dalam masa empat hari dan menyasarkan 15,000 orang pelawat dalam tempoh yang sama pada program kali ini.

“Ini kali keenam bagi ekspo anjuran persatuan di mana yang pertama kita adakan di tempat letak kereta Permata, yang kita adakan tiga tahun berturut-turut di sana sebe­lum ke CityOne ini.

“Bagi hasil jualan, pada tahun lepas kami berjaya menjana RM2 juta jualan dari ekspo dan percaya pada tahun ini lebih daripada jumlah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pasaran pada kali ini dijangka mening­kat meskipun situasi ekonomi yang agak merundum kerana ekspo yang ada memberi pilihan menjimatkan kepada pelanggan.

“Pelanggan jimat dari segi masa apabila mereka boleh mendapatkan barangan di satu tempat dan ekspo ini ibarat Pusat Sehenti kepada mereka,” tegasnya.

Advertisement