Anda di sini

‘Jangan bina rumah secara haram’

Advertisement

 Mukti (kanan) menunjukkan beberapa dokumen tanah kepada Jumat (kiri) semasa operasi di Kampung Lok Butan dan Lok Madas, kelmarin.

JANGAN BINA SESUKA HATI: Mukti (kanan) menunjukkan beberapa dokumen tanah kepada Jumat (kiri) semasa operasi di Kampung Lok Butan dan Lok Madas, kelmarin.

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memberi amaran kepada penduduk kampung supaya tidak membina dan mendirikan rumah sesuka hati di tanah yang dimiliki oleh pihak DBKK berikutan kegiatan terbabit menyalahi undang-undang.

Pengarah Penguat Kuasa DBKK Abdul Mukti Muchlish berkata tanah seluas kira-kira sembilan hektar yang terletak di belakang Pusat Beli-Belah 1Borneo Hypermall berdekatan Kampung Sabang Lok Butah dan Lok Madas adalah disahkan milik DBKK.

Katanya pihaknya akan melaksanakan tindakan sewajarnya termasuk merobohkan mana-mana struktur rumah yang didirikan secara haram di kawasan berkenaan.

“Untuk makluman awam, tanah ini sudah ditawarkan kepada DBKK pada 2014 dan pihak dewan sudah membuat pembayaran premium di kawasan itu.

“Penduduk kampung dari kawasan berhampiran termasuk Kampung Numbak bagaimanapun didapati mendirikan rumah secara haram di kawasan ini dan menghalang pihak DBKK dalam menjalankan kerja pembinaan,” katanya semasa ditemui di lokasi untuk proses merobohkan rumah yang didirikan secara haram, di sini, kelmarin.

Beliau berkata operasi terbabit adalah operasi kali ketiga yang dilaksanakan oleh pihak DBKK dalam menghalang penduduk Kampung Numbak daripada terus mendirikan rumah secara haram dengan mengabaikan arahan pihak berkuasa.

“Kita sudah melaksanakan kerja perobohan sejak Mei lalu bagaimanapun penduduk kampung masih mengabaikan amaran pihak berkuasa dengan meneruskan kegiatan mendirikan rumah secara haram.

“Apa yang lebih mengejutkan bilangan rumah menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa seperti tiada apa-apa amaran yang diterima daripada pihak DBKK.

“Kita nasihatkan penduduk kampung untuk mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan timbulnya masalah besar pada masa hadapan,” katanya sambil menambah, operasi turut disertai Jabatan Perhutanan berikutan pencerobohan penduduk di kawasan hutan bakau.

Operasi bersepadu berkenaan turut disertai beberapa agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Tanah dan Ukur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris yang turut hadir di lokasi berkata pihaknya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan pihak DBKK bahawa pembayaran sudah dibuat kepada Jabatan Tanah dan Ukur.

“Mengikut undang-undang tanah, ini sudah menjadi milik DBKK dan saya sudah menasihatkan penduduk untuk tidak menghalang mana-mana kerja perobohan yang dijalankan oleh pihak DBKK atau agensi berkaitan.

“Kita juga akan meneliti perkara ini untuk memastikan jika terdapatnya sebarang kecuaian dari mana-mana pihak sehingga berlakunya salah faham serta kerugian,” katanya.

Operasi kelmarin ditangguhkan lebih daripada sejam berikutan kehadiran sekumpulan penduduk yang membantah serta menghalang operasi daripada diteruskan.

Kesemua penduduk terbabit dipercayai adalah penduduk Kampung Numbak yang sebelum ini menetap di Kampung Sambang Sepanggar.

Penduduk terbabit bertindak berhijrah ke kawasan ini selepas diberi pampasan untuk keluar dari Sepanggar sebelum penubuhan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar.

Selepas mendapat tempat tinggal di Kampung Numbak, beberapa penduduk terpaksa mencari kawasan penempatan lain selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran pada 2013 lalu.

Advertisement