Anda di sini

Akademi Quranis pertama di Sabah beri peluang OKU dalami al-Quran

Advertisement

KOTA KINABALU: Penubuhan Akademi Quranis yang pertama di Sabah bantu golongan orang kelainan upaya (OKU) mendalami ilmu al-Quran.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata inisiatif yang dilaksanakan oleh Masjid Bandaraya itu dapat dikembangkan kepada komuniti secara berperingkat.

Menurutnya dengan menyertai program di akademi berkenaan, lebih ramai OKU di negeri ini berpeluang mempelajari al-Quran serta ilmu keagamaan secara lebih mendalam.

“Kita akan mengadakan mesyuarat untuk koordinat program ini bersama beberapa pihak yang berkaitan.

“Ia termasuklah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Pusat Zakat Sabah (PZS), serta Jabatan Kebajikan Negeri.

“Bagi membantu usaha murni ini, kementerian juga menyediakan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk alat bantu mengajar di akademi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan daripada wakil Masjid Bandaraya yang diketuai oleh pengerusinya Datuk Ab Jamal Tun Sakaran, di sini, kelmarin.

Jainab turut mencadangkan agar Jabatan Kebajikan menjadikan program berkenaan sebagai salah satu kokurikulum untuk pendidikan khas.

“Kerjasama ini selaras dengan jalinan sedia ada antara kementerian dengan Masjid Bandaraya sebagai rakan kongsi.

“Saya juga melihat Masjid Bandaraya sentiasa prihatin dengan keperluan komuniti serta sentiasa tampil dengan idea yang ada kelainan,” jelasnya.

Sementara itu, Jamal berkata pelancaran Akademi Quranis akan dirasmikan oleh Jainab pada 2 Oktober depan sempena program Festival Maal Hijrah anjuran Masjid Bandaraya.

Menurutnya sistem di akademi berkenaan sebelum ini dibangunkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Yayasan Faqeh.

Katanya sejak 16 tahun lepas, Masjid Bandaraya sudah memiliki tiga institusi pendidikan.

“Kita mempunyai lebih 700 pelajar di masjid ini melibatkan murid Sekolah Rendah Agama, tadika dan tahfiz.

“Justeru, dengan adanya penambahan akademi ini, kita berharap Masjid Bandaraya akan menjadi pusat pendidikan yang mampu membela nasib golongan OKU.

“Pada masa sama, penubuhan Akademi Quranis ini juga diharap dapat menjadikan Masjid Bandaraya sebagai pusat pendidikan contoh kepada institusi lain,” katanya.

Jamal berkata untuk permulaan ini, dua sesi akan dibuka iaitu sesi harian dan mingguan melibatkan seramai 10 murid.

Beliau berkata OKU berkenaan diambil dari Sekolah Pendidikan Khas iaitu lima murid untuk setiap sesi pagi dan tengah hari.

Pihaknya juga membuka sesi mingguan pada hari Sabtu dan Ahad dengan yuran sebanyak RM80 sebulan.

Advertisement