Anda di sini

Syarikat China akan labur RM4.5b untuk dirikan kilang tenaga boleh diperbaharui

Advertisement

NANNING: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah memperoleh potensi pelaburan RM4.50 bilion dari China bagi pembinaan kilang tenaga boleh diperbaharui dan kimia canggih di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, pembinaan kilang itu akan dimulakan awal tahun depan dan dijangka siap pada awal 2018.

“Majlis dan syarikat China itu sedang menyelesaikan butiran terperinci dan akan mengumumkannya tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita di Ekspo China-ASEAN 2016 di sini, semalam.

Menurutnya, perdagangan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan China terus berkembang walaupun menghadapi persekitaran perniagaan yang mencabar.

“Majlis itu serius dalam komitmennya untuk menarik lebih banyak pelaburan dari China serta menjalin perkongsian lebih kukuh dengan agensi kerajaan serta syarikat swasta negara itu,” katanya.

ECERDC menyertai CAEXPO mulai 11 hingga 14 September berikutan kejayaan pembabitan sebelum ini yang dapat mengukuhkan reputasi ECER dalam pasaran global.

Sementara itu, ECER dan Softa Marketing Sdn Bhd dari Besut, Terengganu semalam memeterai memorandum persefahaman dengan Shanghai C-HK International Logistic Inc dari China bagi mengeksport produk makanan halal berasaskan ikan bernilai lebih RM5 juta ke negara itu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Di bawah MoU itu, Softa Marketing akan membekalkan pelbagai produk makanan seperti keropok lekor kepada Shanghai C-HK International Logistics, yang akan bertindak sebagai rakan kongsi strategik bagi mengedar, mempromosi serta memasarkan prouduk itu di China.

Syarikat lain, Mitra Food Industries Sdn Bhd, memperbaharui kontrak tahunan bernilai RM3 juta dengan Zhuolun (Nanning Guangxi) Co Ltd bagi membekalkan produk terkenalnya– Musang King White Coffee dan Brazilian Cappuccino.

Jebasingam berkata, pertukaran MoU dan tempahan yang diperoleh adalah satu kejayaan penting.

“Pendatang baharu perniagaan itu mendapat akses ke pasaran China yang berkembang pesat dengan menembusi Nanning. Tahun ini, kami membawa 20 syarikat dan akan menambah bilangan itu kepada 30 tahun depan,” katanya.

Tahun ini, ECERDC mencatat kira-kira RM150,000 dalam jualan segera dan potensi eksport lebih RM16 juta. — Bernama

Advertisement