Anda di sini

Pembentukan sahsiah diri penting tangani jenayah rentas sempadan

Advertisement

Keselamatan negara untuk jangka panjang berada di tangan rakyat

KUNAK: Pembentukan sahsiah diri masyarakat yang meliputi tiga perkara iaitu bersyukur, perpaduan (solidariti) dan berkorban,  penting dalam menangani jenayah rentas sempadan di perairan negara khususnya di pantai timur Sabah.

Timbalan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Brig. Jeneral Dr Mohd Kenali Basiron berkata secara konseptualnya keselamatan negara untuk jangka panjang, berada di tangan masyarakat dan melalui sahsiah diri tinggi, ia dapat menangani masalah keselamatan sekeliling.

“Sebagai contoh kes penculikan ini bukannya mudah…ia bukan datang daripada sana, mendayung sampan, bot laju, menculik dan pergi…tetapi ia ada kaitannya dengan rakyat di sini… termasuk masalah pengurusan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta masalah pengurusan dokumentasi.

“Ini juga membabitkan perpaduan (solidariti) yang ditentukan oleh penduduk di sini…kalau masyarakat di sini secara rela hati tidak mahu orang lain (PATI) datang ke sini maka pasukan keselamatan lebih mudah untuk menjaganya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis korban bersama ESSCom dan penduduk daerah Kunak di Perkarangan Masjid Babul Qhair Kampung Kunak Tiga di sini, semalam.

Mohd Kenali berkata sebab itu sahsiah diri perlu disemat dalam diri agar  masyarakat dan pasukan keselamatan saling menyokong menangani jenayah seperti penculikan yang sering berlaku di perairan Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZone).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan berkata pihaknya menggalakkan agar masyarakat setempat turut serta membantu pasukan keselamatan dalam menjaga keselamatan perairan daripada dibolosi penjenayah asing.

Sementara itu, mengenai majlis semalam beliau berkata ia merupakan program kemasyarakatan ESSCom bagi menjalin hubungan baik dengan penduduk Kunak.

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan berkata ESSCom bersedia membantu masyarakat tempatan dan menggalakkan agar mereka turut serta membantu pihak ESSCom dalam menjaga keselamatan.

“Dengan amalan sedikit ini, diharap dapat melahirkan semangat kekitaan sesama kita…ESSCom juga ingin menunjukkan walau apa sekali tragedi berlaku di luar kami, sentiasa bersama dengan rakyat dan menjaga keselamatan rakyat,” katanya. — Bernama

Advertisement