Anda di sini

Agensi Pelancongan Wanda New Airlines China komited bawa pelancong ke Sarawak

Advertisement
 Lee (tiga kiri), Bernard (dua kiri) dan Xie Hong (empat kanan) dalam sidang media selepas mengadakan dialog untuk mempromosikan industri pelancongan di Sarawak dengan agensi dari China.

DIALOG: Lee (tiga kiri), Bernard (dua kiri) dan Xie Hong (empat kanan) dalam sidang media selepas mengadakan dialog untuk mempromosikan industri pelancongan di Sarawak dengan agensi dari China.

MIRI: Agensi Pelancongan Hubei Wanda New Airlines China komited untuk membawa lebih banyak pelancong dari negara itu ke Sarawak menerusi penerbangan terus China ke Miri dan Kuching.

Pengurus besarnya, Xie Hong berkata kerjasama antara syarikat itu dengan syarikat penerbangan Malindo Air membuka peluang dan ruang kepada pelancong China untuk lebih mengenali keunikan Sarawak.

“Kita amat berharap penerbangan dari China ke sini (Miri dan Kuching) menerusi laluan Malindo Air akan menarik minat pelancong dari negara kami untuk meneroka pakej-pakej pelancongan yang terdapat di Sarawak,” katanya di sini malam kelmarin.

Sebagai langkah pertama, syarikat itu katanya mempertimbangkan penerbangan ke Kuching dan Miri dari Bandar Wuhan pada tahun hadapan iaitu pada musim perayaan Tahun Baharu Cina (sebelum dan selepas).

“Kita telah berada di Sarawak sejak Sabtu lalu bagi meninjau pakej-pakej pelancongan di sini termasuk kemudahan pelancongan yang disediakan, dan Sarawak mempunyai banyak kawasan pelancongan yang menarik,” jelasnya.

Delegasi itu telah dibawa untuk meninjau kemudahan hotel, restoran, pakej pelancongan semula jadi di Lambir dan sekitar Miri, sebelum itu juga mereka turut meninjau pakej-pakej pelancongan di Kuching.

“Kami mempunyai penerbangan terus dari Wuhan ke Gold Coast, Australia dan kini mencari laluan baharu untuk merancakkan industri pelancongan termasuk ke Kuching dan Miri,” jelasnya.

Selepas Kuching dan Miri, delegasi itu akan meneruskan lawatan kerja mereka ke Brunei Darusalam dan Kota Kinabalu Sabah sebelum kembali ke China.

Sementara itu, Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan, Datuk Lee Kim Shin berkata kerajaan negeri menyokong usaha itu untuk mempromosikan industri pelancongan di Sarawak.

Antaranya termasuk kemudahan untuk visa ketibaan, menghantar rombongan media tempatan ke Hubei untuk tujuan promosi serta menjadi hos lawatan sambil belajar untuk agensi pendidikan luar negara ke Sarawak.

“Kita berharap dengan kehadiran delegasi ini di Sarawak, usaha untuk merancakkan industri pelancongan di Sarawak menjadi realiti kerana kita mempunyai 101 pakej pelancongan yang dikenal pasti MITA,” jelasnya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengurus Besar Agensi Pelancongan Wanda New Airlines China, Huang Su, Pengurus Besar China Youth Travel Service (CYTS), Timbalan Pengurus Besar CYTS, Zheng Yuling, Datuk Bandar Adam Yii, ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting , Ahli Exco Malaysia Inbound Tourism Association (MITA), Gracie Geikei, Ketua Pegawai Komersial Malindo Air, Dato Bernard Francis.

Advertisement