Anda di sini

Raya Aidiladha Keningau dan Tambunan disambut dengan solat Aidiladha

Advertisement
 Nazri (lima kiri) bersama ahli keluarganya selepas menyempurnakan ibadah korban ke atas empat ekor lembu.

KORBAN: Nazri (lima kiri) bersama ahli keluarganya selepas menyempurnakan ibadah korban ke atas empat ekor lembu.

KENINGAU: Hari Raya Aidiladha oleh umat Islam di daerah ini dan Tambunan disambut dengan solat Aidiladha di semua masjid dan surau, dan diikuti dengan ibadah korban.

Ibadah korban masing-masing dilaksanakan oleh pemimpin, badan masjid, kampung-kampung dan orang perseorangan turut diadakan selepas solat Aidiladha.

Selain itu, turut diadakan jamuan Hari Raya Aidiladha dan ziarah ahli keluarga, jiran-jiran selain menziarahi tanah perkuburan.

Bagi penduduk Kampung Tudan Baru di sini, sudah menjadi kelaziman selepas solat Aidiladha akan menziarahi rumah-rumah penduduk yang mengadakan jamuan selain menziarahi ahli keluarga dan juga jiran.

Mereka juga menziarahi tanah perkuburan bagi menghadiahkan doa kepada orang yang tersayang.

Pada masa yang sama, mereka yang terlantar di Hospital Keningau tidak dilupakan oleh ahli keluarga yang melakukan ziarah dengan membawa bersama juadah Hari Raya Aidiladha.

Dan, bagi mereka yang berada di hospital, tidak terasa sunyi kerana turut merasai suasana hari raya bersama-sama ahli keluarga walaupun dalam masa yang singkat sahaja.

Sebanyak tujuh ekor lembu turut dikorbankan oleh penduduk Kg Tudan Baru, sama ada milik individu atau berkumpulan dan sumbangan daripada pemimpin untuk badan masjid kampung itu.

Kampung itu pada tahun ini turut menerima sumbangan masing-masing seekor lembu daripada Parlimen Keningau dan Felcra.

Sebahagian daripada daging lembu itu akan diagih-agihkan kepada penduduk kampung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Keningau Nik Nazri Nik Zawawi bersama ahli keluarganya turut mengorbankan sebanyak empat ekor lembu di pekarangan rumahnya.

Beliau berkata daging itu akan diagih-agihkan kepada golongan yang memerlukan di daerah ini.

Nazri turut berterima kasih di atas kehadiran Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda dan belia yang hadir untuk membantu semasa upacara korban itu dijalankan.

“Semoga usaha pada hari yang penuh keberkatan ini mendapatkan keredaan daripada Allah SWT,” katanya.

Dalam pada itu, di Tambunan, Badan Masjid Pekan turut mengadakan jamuan dan korban selepas solat Aidiladha.

Seramai 500 umat Islam dan tetamu lain hadir pada majlis itu termasuk Penolong Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Badan Dakwah Tambunan Jumain Abdul Ghani, Pengerusi Masjid Pekan Drs Selamat Haji Ismail, Ustaz Hadiq, Iman Basman dan Iman Sanusi.

Turut hadir, Setiausaha Politik Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Daniel Kinsik; Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur Wilfreddoline Jakil; Ketua Daerah OKK Philip Kitingan; Pegawai Pembangunan Daerah Laiwon Dallus; dan para pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) Tambunan.

Pada masa sama, sebanyak lima ekor lembu dikorbankan termasuk seekor yang disumbangkan oleh Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Daniel memuji masyarakat di daerah itu yang hidup dalam aman dan harmoni walaupun berbeza fahaman agama.

“Bagi saya, agama adalah merupakan pembimbing untuk kebaikan kita. Dan yang nyata, apa juga perayaan yang disambut di negara ini termasuk Hari Raya Aidiladha ini turut disertai oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Inilah kebaikan kita di negeri ini yang benar-benar berkonsepkan 1Malaysia, di mana apa juga perayaan atau program yang diadakan adalah dikongsi bersama,” katanya.

Daniel berkata di negeri ini walaupun berlainan bangsa dan agama, sudah menjadi sinonim sebagai satu keluarga yang besar di mana berlakunya kahwin campur.

Beliau berpendapat ada dalam satu keluarga itu yang beragama Islam namun kehidupan mereka tetap sama, harmoni, sejahtera, bahagia dan penuh dengan muhibah.

“Bagi saya, Islam di Sabah dengan di Semenanjung Malaysia memang jauh bezanya kerana di Sabah kita boleh duduk minum dan makan semeja, bersantai, bahkan boleh bersama-sama dalam setiap perayaan yang diadakan di negara ini seperti Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baharu Cina, Kaamatan, dan lain-lain lagi.

“Inilah keistimewaannya kita di Sabah yang benar-benar 1Malaysia tulin, yang memang amat sukar dimiliki oleh rakyat di lain-lain negeri di negara ini,” katanya.

Baginya, Sabah adalah negeri yang begitu indah dengan perpaduan rakyatnya dan yang terbaik dan menjadi contoh kepada negeri lain di Malaysia terutama dalam kekuatan perpaduan rakyatnya yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Daniel turut berterima kasih kepada kepimpinan Masjid Pekan Tambunan yang turut mengundang mereka untuk bersama-sama pada majlis jamuan Hari Raya Aidiladha itu.

Mengenai permohonan badan masjid itu, beliau akan menyampaikan kepada Pairin yang juga ADUN Tambunan dan Ahli Parlimen Keningau.

Jumain dan Selamat turut mengucapkan terima kasih di atas kehadiran rombongan pemimpin-pemimpin PBS Tambunan yang menghadiri majlis jamuan yang diadakan oleh badan Masjid Pekan sempena Hari Raya Aidiladha.

Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada Pairin yang menyumbang seekor lembu untuk badan masjid itu.

Advertisement