Anda di sini

Kementerian perlu wujud bank perumahan

Advertisement

 Francis (dua kanan) menyerahkan kuih bulan kepada salah seorang penerima.

RAIKAN BERSAMA: Francis (dua kanan) menyerahkan kuih bulan kepada salah seorang penerima.

KOTA KINABALU: Per-satuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) mencadangkan agar Kementerian Kese-jahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mewujudkan satu bank perumahan yang mampu membantu orang ramai membeli rumah.

Presiden Shareda Datuk Francis Goh berkata pihaknya dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) sejak dahulu berharap kementerian terbabit boleh membentuk satu inisiatif bank perumahan seperti Malaysia Building Society Bhd (MBSB) yang diwujudkan khusus bagi membantu dari segi kewangan kepada pemaju.

“Pada pendapat saya kementerian itu perlu wujudkan Bank Perumahan Malaysia khusus untuk membantu mereka yang ingin membeli rumah tetapi tidak berjaya mendapatkan pinjaman daripada bank.

“Bank ini juga boleh meletakkan terma dan syaratnya sendiri sebagai contoh hanya untuk memberikan pinjaman kepada pembeli rumah pertama atau kepada mereka yang membeli rumah berdasarkan harga rumah yang berharga tidak lebih daripada RM300,000,” katanya selepas menyerahkan kuih bulan di Kepayan Rumah Murah, kelmarin.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman SHAREDA, mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah bermasalah untuk pembayaran balik, sebab itu mereka tidak terlepas daripada CCRIS yang mana sistem itu diwujudkan oleh Bank Negara.

Menurutnya golongan berpendapatan rendah gagal membayar balik pinjaman peribadi, kad kredit, dan banyak lagi sekali gus menyebabkan mereka susah untuk mendapatkan pinjaman perumahan.

“Bekalan untuk rumah mampu milik adalah sangat baik dan permintaan juga sangat banyak, tetapi masalahnya adalah mereka yang berminat dengan rumah ini tidak mampu mendapatkan pinjaman perumahan.

“Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia, tetapi Bank Negara tidak melihat perkara itu selari dengan polisi bank,” katanya.

Oleh itu katanya, SHAREDA sentiasa bertegas agar Bank Negara perlu mencari satu usaha mewujudkan satu polisi yang boleh diikuti oleh kesemua 2,300 cawangan bank komersial di Malaysia untuk memberikan kuota pinjaman kepada pembeli rumah mampu milik.

“Sekiranya Bank Negara tidak membantu menyelesaikan perkara ini, saya boleh melihat rancangan skim rumah mampu milik dan PR1MA akan gagal.

“Projek ini tidak mempunyai pembeli bukan disebabkan tidak ada permintaan tetapi disebabkan mereka yang berminat dengan projek ini tidak mampu mendapatkan pinjaman perumahan untuk membeli rumah berkenaan,” katanya.

Advertisement