Anda di sini

JPNIN tubuh 975 KRT dan 305 SRS di Sabah

Advertisement

BN prihatin menjaga kepentingan komuniti dan keselamatan mereka daripada diceroboh

 Kurup memyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang sempena Karnival Demi Negara. Turut kelihatan Malinda (empat kiri), Delin (kanan), Bubudan (kiri) dan pegawai kerajaan lain.

DEMI KESELAMATAN: Kurup memyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang sempena Karnival Demi Negara. Turut kelihatan Malinda (empat kiri), Delin (kanan), Bubudan (kiri) dan pegawai kerajaan lain.

PITAS: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah menubuhkan sebanyak 975 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan 305 Skim Rondaan Sukarela (SRS) di negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata ia memperlihatkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin dalam menjaga kepentingan komuniti dan keselamatan mereka daripada sebarang ancaman dan pencerobohan.

“Selaras dengan keperluan ini, sebanyak 385 KRT dan 126 SRS ditubuhkan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone),” katanya semasa berucap merasmikan Karnival Demi Negara KRT di Dataran Bengkoka, di sini, pada Sabtu.

Katanya ia merangkumi Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Kota Marudu, Pitas dan Kudat.

Kurup berharap semua KRT yang ditubuhkan di kawasan ‘hot spot’ bergerak aktif dalam menganjurkan apa juga aktiviti yang dapat memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau perkara itu penting agar hubungan persaudaraan dan muhibbah antara kaum dapat diwujudkan, sekali gus mampu mengukuhkan semangat saling mengawasi antara satu sama lain khususnya di kawasan kejiranan.

“Kerajaan sentiasa menggalakkan agar setiap agensi kerajaan tidak melaksanakan kerja secara sendirian sebaliknya setiap perancangan dan pelaksanaan program yang hendak dijalankan mestilah dilakukan dengan cara yang sistematik dan bersepadu.

“Justeru, melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), kerajaan menerusi JPNIN telah memeterai nota persefahaman dengan pelbagai agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan ESSCom, khususnya dalam misi membantu memerangi jenayah di kawasan hot spot,” katanya.

Kurup juga berharap kekuatan ahli jawatankuasa KRT yang berperanan sebagai agen perpaduan di peringkat akar umbi akan terus digandakan dan digembleng secara optimum.

Katanya usaha yang dilakukan itu diharapkan dapat memperteguhkan lagi perpaduan nasional sebagaimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.

Menurut beliau tanggungjawab menjaga keselamatan bukan terletak di bahu pihak pasukan keselamatan semata-mata tetapi adalah tanggungjawab semua pihak termasuk KRT dan SRS untuk bersama-sama berganding bahu menjaga keselamatan negara terutamanya di ESSZone.

Hadir sama pada karnival itu ialah isteri Kurup, Puan Sri Malinda, Pengarah JPNIN Sabah Delin Liet Blaun dan Pegawai Daerah Bubudan OT Majalu.

Advertisement