Anda di sini

Industri ternakan lembu perlu dikembangkan: Johari

Advertisement

Hasil ternakan mampu bantu menstabilkan ekonomi

KUALA LUMPUR: Industri ternakan lembu perlu dikembangkan bagi menggalakkan penghasilan ternakan itu yang dilihat mampu membantu menstabilkan ekonomi negara.

Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani berkata kementerian berkenaan akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi merangka rancangan jangka panjang untuk meningkatkan penghasilan ternakan lembu, yang mendapat permintaan yang meningkat setiap tahun.

“Sudah tiba masanya kita melihat bagaimana industri lembu ini dapat dipertingkatkan. Kita tidak boleh bergantung kepada lembu yang diimport sahaja kerana ia akan menyebabkan defisit kepada akaun semasa negara.

“Kita sedang melihat bagaimana kementerian Pertanian boleh membantu, seperti jenis bantuan yang diperlukan. Insya-Allah kita akan ajukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk kita lihat perkara ini secara spesifik,” katanya di sini semalam.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian pada majlis ibadah aqiqah dan korban sempena Hari Raya Aidil Adha dan pra-Sambutan ulang tahun Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di surau Al-Madrasatul Ittifaqiyah, Datuk Keramat.

Turut hadir, ketua aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dan Pengarah Kreatif Yayasan Patriot Negara Yann Razal.

Beliau kemudiannya menghadiri majlis ibadah korban anjuran Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di padang Kampong Pindah, Kampung Baru yang dihadiri oleh warga SPNB dan penduduk kawasan itu. — Bernama

Advertisement