Anda di sini

Penubuhan Lembaga Ubi Kayu dimensi baharu peladang

Advertisement

KOTA KINABALU: Penubuhan Lembaga Ubi Kayu oleh kerajaan negeri Sabah diyakini membawa dimensi baharu dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat luar bandar, khususnya peladang di negeri ini.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata penubuhan lembaga berkenaan memudahkan pemasaran hasil ubi kayu, sekali gus bidang penanaman ubi kayu menjanjikan masa depan yang lebih baik dan terjamin.

“Tanaman ubi kayu sememangnya berpotensi diusahakan di negeri ini memandangkan kesuburan tanah dan cuaca yang sangat sesuai. Justeru, PPNS akan memberi galakan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk mengusahakan tanaman ubi kayu secara besar-besaran,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Kelmarin, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengumumkan langkah kerajaan negeri melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk mewujudkan Lembaga Ubi Kayu bagi mempelbagaikan pengeluaran makanan di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan sudah pun membina dua kilang pemprosesan ubi kayu iaitu masing-masing satu di daerah Kudat dan Tawau yang memerlukan bekalan ubi kayu yang banyak untuk diproses.

Mohd Nazri yang juga timbalan pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memuji keputusan kerajaan itu yang disifatkannya sebagai wawasan pimpinan negeri membantu masyarakat peladang dan mempelbagaikan ekonomi negeri.

“Kita amat menghargai keprihatinan beliau (Datuk Seri Musa), ini menunjukkan beliau seorang pemimpin yang mempunyai wawasan untuk masyarakat luar bandar.

“Bagi memenuhi keperluan, PPNS menerusi PPK akan memulakan segera penanaman ubi kayu bagi tujuan komersial di kawasan tertentu yang akan dikenal pasti,” katanya.

Mohd Nazri berkata selain memudahkan pemasaran, pewujudan lembaga khusus mengenai ubi kayu juga mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Katanya, PPNS akan bekerjasama dengan agensi kerajaan serta institusi berkaitan dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan, untuk mempelbagaikan produk berasaskan ubi kayu. — Bernama

Advertisement