Anda di sini

Lebih 1,500 sertai program gotong-royong perdana

Advertisement

KENINGAU: Lebih 1,500 orang menyertai program gotong-royong perdana membersihkan dan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan persekitaran pekan di sini pada Jumaat.

Program yang mendapat sambutan hangat dari seluruh masyarakat daerah ini termasuk jabatan-jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin-pemimpin masyarakat, ahli-ahli perniagaan dan kalangan belia menunjukkan komitmen tinggi terhadap kebimbangan penularan wabak denggi dan virus zika.

Ini juga sebagai satu tanggungjawab oleh semua pihak baik di peringkat kerajaan, swasta, NGO dan ahli-ahli perniagaan bagi menyahut seruan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman yang meminta semua pentadbiran daerah di seluruh negeri ini agar melancarkan gotong-royong untuk membersihkan persekitaran bandar dan pekan bagi menghapuskan pembiakan nyamuk aedes yang membawa demam denggi dan virus Zika.

Program anjuran bersama Pejabat Daerah dan Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau telah dilancarkan oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Sairin Karno.

Dalam ucapannya beliau meminta semua masyarakat di daerah ini agar sama-sama bertanggungjawab untuk memelihara dan menjaga kebersihan bandar terutama sekali menjadikan daerah ini bebas denggi.

“Kita jangan terlalu bergantung kepada kerajaan terutama sekali pihak berkuasa tempatan.

“Sebagai masyarakat yang prihatin terhadap suasana harmoni dan sejahtera serta keindahan bandar, kita perlu sentiasa mengutamakan kebersihan dalam kehidupan harian kita.

“Kita tahu penyakit demam denggi di negeri ini sudah semakin meningkat sejak kebelakangan ini dan ini sudah tentu menjadi satu ancaman kepada kesihatan masyarakat di daerah ini,” katanya.

Dalam hubungan ini kata Sairin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan perlu ada kesedaran mengenai kes denggi termasuk Zika yang telah mengorbankan nyawa seorang penduduk negeri ini.

Katanya, apa yang penting, setiap masyarakat sama ada di bandar mahupun di kampung perlu mengutamakan kebersihan dengan bersama-sama menghapuskan pembiakan nyamuk aedes yang terdapat di sekitar rumah atau dalam rumah.

“Saya percaya, amalan kebersihan dalam kehidupan harian kita akan menghindarkan ancaman penyakit ini kepada kita dan juga keluarga kita.

“Saya menyeru seluruh rakyat di daerah ini agar sentiasa memberikan keutamaan kepada kebersihan dalam usaha kita menghapuskan pembiakan nyamuk aedes ini selain lain-lain penyakit berjangkit yang boleh membawa maut,” katanya.

Sementera itu, Pegawai Daerah yang juga pengerusi penganjur program itu Yusop Osman memberitahu kepada pemberita selepas program itu bahawa Kementerian Kesihatan telah mencatat kes denggi yang tinggi dengan melibatkan 17 buah kampung di daerah ini.

Katanya, kes demam denggi ini semakin meningkat jika tidak diambil usaha untuk membanteras penghapusan pembiakan nyamuk aedes.

Katanya, penyakit denggi ini akhirnya membawa kepada Zika di mana sekarang ini kerajaan begitu khuatir mengenai virus Zika yang sudah menular di negara ini.

“Kes denggi di daerah ini adalah ditahap yang membimbangkan dan saya telah mengarahkan seluruh kampung untuk mengadakan gotong-royong.

“Pada masa yang sama sekolah-sekolah juga perlu mengambil langkah-langkah awal dan perhatian berhubung dengan penyakit denggi dan memberikan makluman kepada murid-murid berhubung bahayanya penyakit ini,” katanya.

Yusop juga turut memuji sambutan orang ramai khusus kepada Dewan Perniagaan Tionghua Keningau dan persatuan-persatuan Tionghua yang hadir sama dan memberikan sokongan padu terhadap program ini.

Katanya, ini menandakan bahawa ahli-ahli perniagaan di pekan ini sudah semakin menerima dengan baik program-program kerajaan ke arah kempen membasmi nyamuk aedes ini.

Menurut beliau, pada ketika ini kalau mengikut rekod Pejabat Daerah, belum ada kawasan daripada rumah-rumah setinggan menghadapi penularan kes-kes denggi. Kebanyakan 17 kampung ini adalah yang diwartakan sebagai kampung.

“Di kawasan setinggan juga setakat ini belum ada kes demam denggi dilaporkan dan ia sentiasa kita kawal dan beri perhatian agar tidak menjadikan kawasan aktiviti pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Advertisement